19 May 2022

TEKNIK MENULIS KARANGAN PENDAHULUAN

 TEKNIK FACLK

Ø  memerlukan murid-murid membina ayat pertama dengan merujuk kepada fokus pernyataan (F).
Ø  Ayat kedua iaitu akibat (A) daripada ayat pertama tadi.
Ø  Selepas itu, bina ayat ketiga iaitu contoh (C) yang boleh dikaitkan dengan pernyataan soalan.
Ø  Seterusnya, murid-murid perlu membina ayat keempat, iaitu langkah (L).
Ø  Ayat terakhir yang perlu dibina oleh murid iaitu kepentingannya (K) berdasarkan langkah yang telah diambil tadi.
Ø  Kemudian, masukkan peribahasa atau gunakan ungkapan yang menarik yang dirasakan sesuai.

CONTOH

Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini masih wujud. Pada pendapat anda, mengapakah masalah rasuah perlu dibendung.
Kebelakangan ini, kes rasuah semakin menjadi-jadi dan nampaknya sukar untuk dibanteras. Hal ini kerana kes tersebut melibatkan pegawai kerajaan dan swasta, ahli politik, dan orang awam (F). Keadaan ini membimbangkan kita kerana jika dibiarkan sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api dalam sekam. Fenomena ini juga sekaligus akan melahirkan masyarakat yang tiada integriti (A).  Contohnya, jika seseorang pegawai menawarkan rasuah utnuk menutup kesalahan dirinya daripada landasan undang-undang, jelaslah betapa rendahnya akhlak dan maruah dirinya (C). Oleh itu, semua pihak harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah agar dapat melahirkan masyarakat yang amanah dan berintegriti (L). Hal ini perlu dititikberatkan kerana rasuah perlu dibanteras dari awal iaitu, mencegah lebih baik daripada mengubati sesuatu penyakit (K).


Teknik ITCHF (Isu, Tanya, Contoh, Hurai, Fokus)
Teknik ini memerlukan murid-murid membina ayat pertama dengan merujuk kepada ayat isu pernyataan (I) dalam soalan. Kemudian, ayat kedua iaitu ayat tanya (T) daripada ayat pertama tadi. Selepas itu, bina pula ayat ketiga iaitu ayat contoh (C) yang boleh dikaitkan dengan penyataan soalan. Seterusnya, murid-murid perlu membina ayat keempat, iaitu ayat huraian (H) dan ayat kelima ialah ayat fokus soalan (F) berdasarkan langkah yang telah diambil tadi. Dengan cara itu pelajar dapat menulis ayat yang ada pertalian rapat antara satu ayat dengan ayat yang lain, atau jalinan idea yang mantap. Jika jalinan idea tersebut mantap, sudah pasti pendahuluan itu menjadi satu pendahuluan yang baik dan menepati kehendak soalan.

Soalan Contoh 1
Banyak rumah yang telah siap dibina dikatakan sukar untuk dijual pada masa ini.
Pada pendapat anda, mengapakah perkara itu berlaku?

Perenggan Pendahuluan Contoh 1
I - Isu rumah yang sudah siap dibina tetapi sukar untuk dijual merupakan isu biasa pada masa ini. (I) – Ayat Isu
T - Masalah ini berlaku kerana tiada permintaan terhadap rumah tersebut hingga menyebabkannya terbiar begitu sahaja. (T) – Ayat Tanya - kenapa
C - Menurut perangkaan terkini, di Kedah terdapat 3,783 unit diikuti oleh Selangor dengan 3,713 unit dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 929 unit rumah yang masih tidak dapat dijual. (C) – Ayat contoh
H - Perkara ini tentunya akan memberikan kesan kepada pertumbuhan atau kemajuan sektor perumahan negara. (H) - Ayat huraian contoh
F - Seperti yang kita sedia maklum, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan gejala pemanasan global berlaku. (F) – Ayat fokus soalan  (83 perkataan)

Soalan Contoh 2
Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.
Jelaskan manfaat bangunan bersejarah tersebut.

Perenggan Pendahuluan Contoh 2

Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan memang banyak terdapat di negara kita dan perlu dikekalkan kerana tinggi nilai warisannya. (I) Bangunan tersebut menjadi bukti daripada fakta sejarah yang dapat menarik pelancong asing ke negara kita. (T) Oleh itu, Pulau Pinang dan Melaka yang telah diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO baru-baru ini masih banyak memiliki bangunan bersejarah seperti di Fort Cornwalis di Pulau Pinang dan Bangunan Stadhuyst di Melaka. (C) Jadi, bangunan bersejarah tersebut perlu dipelihara daripada kerosakan dan kemusnahan. (H) Terdapat banyak manfaat atau kelebihan mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita. (F)  (90 perkataan)

Pelajar harus menyedari bahawa perenggan pendahuluan sama pentingnya dengan perenggan isi dan perenggan penutup. Perenggan pendahuluan juga akan memberikan gambaran atau impression awal tentang keseluruhan karangan pelajar. Oleh hal yang demikian, cubalah berlatih untuk menulis pendahuluan karangan dengan menggunakan teknik ini. Sebenarnya, banyak cara lagi untuk menulis pendahuluan karangan dan cikgu mendangkan satu lagi teknik tambahan kepada murid-murid. Jadi, murid-murid mempunyai banyak cara yang boleh dipilih untuk menulis perenggan pendahuluan. Bagi calon-calon STPM, biasakan diri dengan menulis perenggan pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 80 hingga 90 perkataan. Bagi calon-calon SPM pula, biasakan diri dengan menulis pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 60 hingga 70 perkataan. Bagi calon-calon STPM, ingatlah bahawa markah perenggan pendahuluan sudah ditetapkan sebanyak 3 markah, dan kelemahan perenggan pendahuluan sudah pasti akan menjejaskan markah aspek relevan (R) dan juga mempengaruhi markah pengolahan (P).

No comments:

Post a Comment