16 January 2015

Panduan Rumusan - SPM

Rumusan dan Pemahaman (SPM)

 RUMUSAN

Panduan Menulis Rumusan
Langkah Pertama: Baca arahan dengan teliti untuk memahami kehendak soalan.
Langkah Kedua: Kelaskan arahan yang dibaca untuk menulis pendahuluan, isi tersirat dan penutup.
Langkah Ketiga: Baca petikan sambil mengenap pasti isi tersurat.
Langkah Keempat: Tulis rangka jawapan untuk semua aspek yang dikehendaki.
Langkah Kelima: Tulis rumusan selengkapnya. Kira jumlah perkataan dan tulis jumlahnya pada bahagian akhir rumusan.


1. Panduan Menulis Pendahuluan Rumusan
Anda perlu membaca dan merujuk arahan sebelum menulis pendahuluan. Selepas memahami kehendak arahan, anda boleh menukarkan kata kunci pertama kepada perkataan yang sinonim dengannya. Mulakan kata-kata pendahuluan dengan:
  • Petikan membincangkan..........
  • Petikan menjelaskan................
  • Petikan menyatakan................
Kemudian, anda dikehendaki menukarkan kata kunci pertama dengan perkataan yang sinonim dengannya. Contohnya:

Arahan:  
Tulis satu rumusan tentang langkah-langkah mengatasi masalah penyakit berjangkit dan kekangan dalam mengatasi masalah tersebut.

Contoh menulis pendahuluan:
Petikan membincangkan cara-cara (petikan menyatakan langkah-langkah) mengatasi masalah penyakit berjangkit yang semakin berleluasa sekarang.


Kata Kunci
Perkataan Sinonim
Punca-punca
Sebab-sebab, faktor-faktor
Kesan-kesan
Akibat, implikasi, impak, natijah
Langkah-langkah
Cara, kaedah, usaha, strategi, tindakan, antidot
Kebaikan
Faedah, manfaat, keistimewaan, kepentingan, keuntungan, kelebihan,
Keburukan
Kelemahan, kekurangan, kepincangan, kerugian, masalah, kesan negatif
Peranan
Fungsi, tanggungjawab, tugas, tindakan
Sumbangan
Jasa, bakti
Kekangan
Halangan, masalah, kesulitan, rintangan, cabaran
Ciri-ciri
Kriteria
Fenomena
Keadaan, situasi


2. Panduan Mencari dan Menulis Isi Tersurat
Anda perlu membaca dan merujuk petikan yang diberi. Pastikan anda mencari isi tersurat berdasarkan kata kunci pertama yang terdapat dalam arahan. Sekiranya arahan meminta anda menulis rumusan tentang cara-cara mengatasi masalah penyakit berjangkit, anda perlu mencari enam cara yang terdapat dalam petikan tersebut.

Secara umumnya, terdapat dua kaedah mengenal pasti isi tersurat yang terkandung dalam petikan, iaitu:
  • penggunaan kata yang sinonim dengan kata kunci
  • penggunaan penanda wacana tertentu. Contohnya, Selain itu, Malahan, Oleh itu, dan sebagainya
Anda perlu mengenal pasti sekurang-kurangnya enam isi tersurat.


3. Panduan Menulis Isi Tersirat
Anda mestilah merujuk arahan sebelum menulis isi tersirat. Kata kunci kedua yang terdapat dalam arahan merupakan arahan menulis isi tersirat. Contoh:

Arahan:
Tulis satu rumusan tentang langkah-langkah mengatasi masalah penyakit berjangkit dan kekangan dalam mengatasi masalah tersebut.

Panduan:
Anda dikehendaki memikirkan kekangan atau halangan yang menyebabkan langkah-langkah mengatasi penyakit berjangkit tidak berkesan. Anda lebih mudah memikirkan idea sekiranya merujuk isi tersurat yang telah ditemui. Anda perlu menyenaraikan sekurang-kurangnya dua isi tersirat.


4. Panduan Menulis Penutup
Calon dinasihati supaya merujuk arahan sebelum menulis penutup. Hal ini demikian kerana kata kunci pertama yang terdapat dalam arahan boleh dijadikan panduan menulis penutup.

Mulakan kata-kata penutup dengan:
  • Kesimpulannya......
  • Ringkasnya............
  • Konklusinya..........
Sekiranya arahan kata kunci pertama menyatakan langkah-langkah, sebaik-baiknya anda hendaklah menulis:
  • Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dalam......
  • Ringkasnya, masyarakat perlu bekerjasama dalam......
  • Konklusinya, setiap anggota masyarakat perlu prihatin dalam......
Diikuti dengan kata hubung, iaitu supaya atau demi atau agar (sebagai penghubung kepada ayat seterusnya) dan penyataan positif.

Arahan:
Tulis satu rumusan tentang langkah-langkah mengatasi masalah penyakit berjangkitdan kekangan dalam mengatasi masalah tersebut.

Contoh Penutup:
Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama mengatasi penyakit berjangkit yang semakin menular supaya tahap kesihatan rakyat boleh berada dalam keadaan terkawal. (penyataan positif)

_______________________________________________________________________
Sampel Soalan
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentanglangkah-langkah menangani masalah buli dan kesan-kesan yang dialami oleh mangsa buli apabila masalah ini berlarutan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


     Kes buli yang semakin menular di sekolah menunjukkan berlakunya kepincangan dalam sistem pendidikan di sekolah pada masa ini sekiranya masalah tersebut tidak diatasi dengan segera. Perbuatan membuli bertujuan supaya individu lain mematuhi dan menghormati mereka. Pembuli lebih suka teman-teman persekitaran mengikut kehendak mereka bagai lembu dicucuk hidung. Sehubungan dengan itu,Kementerian Pelajaran juga digesa supaya mewujudkan dasar antibuli di sekolah-sekolah bagi mengawal gejala buli dalam kalangan pelajar. Kawalan tersebut perlu ditekankan kepada pelajar lelaki terutama semasa mereka berada di Tahun Enam. Selain itu, pihak sekolah juga harus melaksanakan sendiri tinjauan terhadap kejadian buli di sekolah masing-masing.

     Fenomena buli dapat dikategorikan kepada dua jenis, iaitu buli secara langsung dan secara tidak langsung. Buli secara langsung termasuklah dibuli, diugut, disepak atau membalas pukulan. Buli jenis ini disebut sebagai buli fizikal. Buli secara tidak langsung pula lebih dikenali sebagai buli psikologi, iaitu melibatkan kata-kata seperti memanggil atau mengejek-ejek individu dengan nama tertentu, dikacau, ditertawakan rakan lain atau menyebarkan gosip liar terhadap seseorang. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pelajar menjadi pembuli, iaitu pengaruh rakan sebaya dan saiz tubuh yang besar dan tegap. Selain itu, dapatan kajian turut menunjukkan pelajar membuli kerana berasa dirinya tidak selamat jika tidak berbuat sesuatu yang boleh melindungi dirinya daripada perkara yang tidak diingini.

     Kejadian buli tidak harus dipandang ringan. Penglibatan ibu bapa dalam menangani masalah buli di sekolah ini menjadi penting. Ibu bapa perlu berbincang dengan guru sekiranya anak-anak mereka bertukar sikap, menjadi pendiam, atau kurang selera makan. Hal ini demikian kerana tidak semua pelajar yang menjadi mangsa mahu melaporkan masalahnya kepada pihak sekolah. Sekolah perlu menggalakkan murid yang menjadi mangsa buli melaporkan kejadian tersebut kepada guru, terutamanya guru disiplin dan guru kaunselor. Pada masa ini, kebanyakan sekolah tidak mempunyai dasar menggalakkan murid-murid melaporkan kejadian buli. Oleh itu,sekolah juga disarankan supaya mewujudkan satu bentuk perjanjian dengan murid yang membolehkan pihak sekolah mengenakan tindakan terhadap murid yang terlibat dengan tingkah laku buli.

     Bagaimanapun, ada kemungkinan mangsa berasa takut membuat laporan kepada guru kerana bimbang akan dikenakan tindakan lebih keras daripada pembuli. Sehubungan dnegan itu, pihak sekolah boleh menyediakan “Kotak Aduan" bagi membolehkan kes buli dilaporkan secara rahsia oleh mangsa buliPenekanan kepada program antibuli juga perlu diterapkan di dalam kelas yang merupakan tempat yang paling banyak berlakunya kes buli. Program individu perlu diwujudkan dengan carakaunselor memanggil pembuli dan mangsa untuk diberikan kaunseling secara berasingan atau memanggil ibu bapa pelajar terbabit. Pada masa ini, terdapat satu laman web yang boleh dilayari oleh pelajar dan guru bagi mendapatkan maklumat dan berkongsi pengalaman tentang buli, iaitu www.bullying.org. Pihak sekolah juga boleh menubuhkan petugas khas dalam kalangan murid untuk memberi laporan petugas khas dalam kalangan murid untuk memberi laporan tentang kejadian buli di dalam kelas atau di kawasan sekolah.

(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana Haji Samat b.Buang, Majalah Dewan Siswa, 2005)

Sampel Jawapan
     Petikan membincangkan usaha-usaha menangani masalah buli di sekolah.
     Langkah-langkah yang wajar dilaksanakan ialah Kementerian Pelajaran hendaklah mewujudkan dasar antibuli di sekolah-sekolah manakala pihak sekolah haruslah melaksanakan sendiri tinjauan terhadap kejadian buli di sekolah masing-masing dan ibu bapa perlulah berbincang dengan guru sekiranya anak-anak mereka berubah sikap. Selain itu, sekolah perlu menggalakkan murid yang menjadi mangsa buli melaporkan kejadian tersebut kepada guru. Sekolah juga disarankan supaya mewujudkan satu bentuk perjanjian bagi membolehkan mereka mengenakan tindakan terhadap murid yang terlibat. “Kotak Aduan" juga boleh disediakan di sekolah bagi membolehkan kes buli dilaporkan secara rahsia oleh mangsa buli.
     Kesan-kesan yang dialami oleh mangsa buli ialah mereka mengalami trauma dalam jangka panjang dan boleh menyebabkan mangsa membunuh diri.
     Kesimpulannya, masalah buli perlu diatasi agar dapat melahirkan masyarakat yang berakhlak mulia.
                                                                                                                (126patah perkataan)

rujukan : http://cikguchinboontek.blogspot.com/p/rumusan-dan-pemahaman-spm.html

No comments:

Post a Comment