16 January 2015

Panduan Rumusan - SPM

Rumusan dan Pemahaman (SPM)

 RUMUSAN

Panduan Menulis Rumusan
Langkah Pertama: Baca arahan dengan teliti untuk memahami kehendak soalan.
Langkah Kedua: Kelaskan arahan yang dibaca untuk menulis pendahuluan, isi tersirat dan penutup.
Langkah Ketiga: Baca petikan sambil mengenap pasti isi tersurat.
Langkah Keempat: Tulis rangka jawapan untuk semua aspek yang dikehendaki.
Langkah Kelima: Tulis rumusan selengkapnya. Kira jumlah perkataan dan tulis jumlahnya pada bahagian akhir rumusan.


1. Panduan Menulis Pendahuluan Rumusan
Anda perlu membaca dan merujuk arahan sebelum menulis pendahuluan. Selepas memahami kehendak arahan, anda boleh menukarkan kata kunci pertama kepada perkataan yang sinonim dengannya. Mulakan kata-kata pendahuluan dengan:
  • Petikan membincangkan..........
  • Petikan menjelaskan................
  • Petikan menyatakan................
Kemudian, anda dikehendaki menukarkan kata kunci pertama dengan perkataan yang sinonim dengannya. Contohnya:

Arahan:  
Tulis satu rumusan tentang langkah-langkah mengatasi masalah penyakit berjangkit dan kekangan dalam mengatasi masalah tersebut.

Contoh menulis pendahuluan:
Petikan membincangkan cara-cara (petikan menyatakan langkah-langkah) mengatasi masalah penyakit berjangkit yang semakin berleluasa sekarang.


Kata Kunci
Perkataan Sinonim
Punca-punca
Sebab-sebab, faktor-faktor
Kesan-kesan
Akibat, implikasi, impak, natijah
Langkah-langkah
Cara, kaedah, usaha, strategi, tindakan, antidot
Kebaikan
Faedah, manfaat, keistimewaan, kepentingan, keuntungan, kelebihan,
Keburukan
Kelemahan, kekurangan, kepincangan, kerugian, masalah, kesan negatif
Peranan
Fungsi, tanggungjawab, tugas, tindakan
Sumbangan
Jasa, bakti
Kekangan
Halangan, masalah, kesulitan, rintangan, cabaran
Ciri-ciri
Kriteria
Fenomena
Keadaan, situasi


2. Panduan Mencari dan Menulis Isi Tersurat
Anda perlu membaca dan merujuk petikan yang diberi. Pastikan anda mencari isi tersurat berdasarkan kata kunci pertama yang terdapat dalam arahan. Sekiranya arahan meminta anda menulis rumusan tentang cara-cara mengatasi masalah penyakit berjangkit, anda perlu mencari enam cara yang terdapat dalam petikan tersebut.

Secara umumnya, terdapat dua kaedah mengenal pasti isi tersurat yang terkandung dalam petikan, iaitu:
  • penggunaan kata yang sinonim dengan kata kunci
  • penggunaan penanda wacana tertentu. Contohnya, Selain itu, Malahan, Oleh itu, dan sebagainya
Anda perlu mengenal pasti sekurang-kurangnya enam isi tersurat.


3. Panduan Menulis Isi Tersirat
Anda mestilah merujuk arahan sebelum menulis isi tersirat. Kata kunci kedua yang terdapat dalam arahan merupakan arahan menulis isi tersirat. Contoh:

Arahan:
Tulis satu rumusan tentang langkah-langkah mengatasi masalah penyakit berjangkit dan kekangan dalam mengatasi masalah tersebut.

Panduan:
Anda dikehendaki memikirkan kekangan atau halangan yang menyebabkan langkah-langkah mengatasi penyakit berjangkit tidak berkesan. Anda lebih mudah memikirkan idea sekiranya merujuk isi tersurat yang telah ditemui. Anda perlu menyenaraikan sekurang-kurangnya dua isi tersirat.


4. Panduan Menulis Penutup
Calon dinasihati supaya merujuk arahan sebelum menulis penutup. Hal ini demikian kerana kata kunci pertama yang terdapat dalam arahan boleh dijadikan panduan menulis penutup.

Mulakan kata-kata penutup dengan:
  • Kesimpulannya......
  • Ringkasnya............
  • Konklusinya..........
Sekiranya arahan kata kunci pertama menyatakan langkah-langkah, sebaik-baiknya anda hendaklah menulis:
  • Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dalam......
  • Ringkasnya, masyarakat perlu bekerjasama dalam......
  • Konklusinya, setiap anggota masyarakat perlu prihatin dalam......
Diikuti dengan kata hubung, iaitu supaya atau demi atau agar (sebagai penghubung kepada ayat seterusnya) dan penyataan positif.

Arahan:
Tulis satu rumusan tentang langkah-langkah mengatasi masalah penyakit berjangkitdan kekangan dalam mengatasi masalah tersebut.

Contoh Penutup:
Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama mengatasi penyakit berjangkit yang semakin menular supaya tahap kesihatan rakyat boleh berada dalam keadaan terkawal. (penyataan positif)

_______________________________________________________________________
Sampel Soalan
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentanglangkah-langkah menangani masalah buli dan kesan-kesan yang dialami oleh mangsa buli apabila masalah ini berlarutan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


     Kes buli yang semakin menular di sekolah menunjukkan berlakunya kepincangan dalam sistem pendidikan di sekolah pada masa ini sekiranya masalah tersebut tidak diatasi dengan segera. Perbuatan membuli bertujuan supaya individu lain mematuhi dan menghormati mereka. Pembuli lebih suka teman-teman persekitaran mengikut kehendak mereka bagai lembu dicucuk hidung. Sehubungan dengan itu,Kementerian Pelajaran juga digesa supaya mewujudkan dasar antibuli di sekolah-sekolah bagi mengawal gejala buli dalam kalangan pelajar. Kawalan tersebut perlu ditekankan kepada pelajar lelaki terutama semasa mereka berada di Tahun Enam. Selain itu, pihak sekolah juga harus melaksanakan sendiri tinjauan terhadap kejadian buli di sekolah masing-masing.

     Fenomena buli dapat dikategorikan kepada dua jenis, iaitu buli secara langsung dan secara tidak langsung. Buli secara langsung termasuklah dibuli, diugut, disepak atau membalas pukulan. Buli jenis ini disebut sebagai buli fizikal. Buli secara tidak langsung pula lebih dikenali sebagai buli psikologi, iaitu melibatkan kata-kata seperti memanggil atau mengejek-ejek individu dengan nama tertentu, dikacau, ditertawakan rakan lain atau menyebarkan gosip liar terhadap seseorang. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pelajar menjadi pembuli, iaitu pengaruh rakan sebaya dan saiz tubuh yang besar dan tegap. Selain itu, dapatan kajian turut menunjukkan pelajar membuli kerana berasa dirinya tidak selamat jika tidak berbuat sesuatu yang boleh melindungi dirinya daripada perkara yang tidak diingini.

     Kejadian buli tidak harus dipandang ringan. Penglibatan ibu bapa dalam menangani masalah buli di sekolah ini menjadi penting. Ibu bapa perlu berbincang dengan guru sekiranya anak-anak mereka bertukar sikap, menjadi pendiam, atau kurang selera makan. Hal ini demikian kerana tidak semua pelajar yang menjadi mangsa mahu melaporkan masalahnya kepada pihak sekolah. Sekolah perlu menggalakkan murid yang menjadi mangsa buli melaporkan kejadian tersebut kepada guru, terutamanya guru disiplin dan guru kaunselor. Pada masa ini, kebanyakan sekolah tidak mempunyai dasar menggalakkan murid-murid melaporkan kejadian buli. Oleh itu,sekolah juga disarankan supaya mewujudkan satu bentuk perjanjian dengan murid yang membolehkan pihak sekolah mengenakan tindakan terhadap murid yang terlibat dengan tingkah laku buli.

     Bagaimanapun, ada kemungkinan mangsa berasa takut membuat laporan kepada guru kerana bimbang akan dikenakan tindakan lebih keras daripada pembuli. Sehubungan dnegan itu, pihak sekolah boleh menyediakan “Kotak Aduan" bagi membolehkan kes buli dilaporkan secara rahsia oleh mangsa buliPenekanan kepada program antibuli juga perlu diterapkan di dalam kelas yang merupakan tempat yang paling banyak berlakunya kes buli. Program individu perlu diwujudkan dengan carakaunselor memanggil pembuli dan mangsa untuk diberikan kaunseling secara berasingan atau memanggil ibu bapa pelajar terbabit. Pada masa ini, terdapat satu laman web yang boleh dilayari oleh pelajar dan guru bagi mendapatkan maklumat dan berkongsi pengalaman tentang buli, iaitu www.bullying.org. Pihak sekolah juga boleh menubuhkan petugas khas dalam kalangan murid untuk memberi laporan petugas khas dalam kalangan murid untuk memberi laporan tentang kejadian buli di dalam kelas atau di kawasan sekolah.

(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana Haji Samat b.Buang, Majalah Dewan Siswa, 2005)

Sampel Jawapan
     Petikan membincangkan usaha-usaha menangani masalah buli di sekolah.
     Langkah-langkah yang wajar dilaksanakan ialah Kementerian Pelajaran hendaklah mewujudkan dasar antibuli di sekolah-sekolah manakala pihak sekolah haruslah melaksanakan sendiri tinjauan terhadap kejadian buli di sekolah masing-masing dan ibu bapa perlulah berbincang dengan guru sekiranya anak-anak mereka berubah sikap. Selain itu, sekolah perlu menggalakkan murid yang menjadi mangsa buli melaporkan kejadian tersebut kepada guru. Sekolah juga disarankan supaya mewujudkan satu bentuk perjanjian bagi membolehkan mereka mengenakan tindakan terhadap murid yang terlibat. “Kotak Aduan" juga boleh disediakan di sekolah bagi membolehkan kes buli dilaporkan secara rahsia oleh mangsa buli.
     Kesan-kesan yang dialami oleh mangsa buli ialah mereka mengalami trauma dalam jangka panjang dan boleh menyebabkan mangsa membunuh diri.
     Kesimpulannya, masalah buli perlu diatasi agar dapat melahirkan masyarakat yang berakhlak mulia.
                                                                                                                (126patah perkataan)

rujukan : http://cikguchinboontek.blogspot.com/p/rumusan-dan-pemahaman-spm.html

30 October 2014

PBS - Band 3 (Membaca)

Kemahiran
Band
Pernyataan standardDeskriptor
 Membaca
3
 Memahami dan memberikan respons kepada maklumat yang didengar-dituturkan, dibaca dan ditulis.B3 DB1Membaca dan menyatakan maksud tersurat dan tersirat daripada sesuatu bahan.
Aktiviti dan bahan pentaksiran
Baca petikan di bawah dengan teliti. Kemudian jawab soalan yang berikutnya
Keprihatinan banyak pihak tentang bahaya merokok menyebabkan pelbagai usaha dijalankan untuk membendung gejala negatif ini daripada terus menular dalam kalangan remaja. Kebanyakan remaja terutamanya pelajar sekolah mengakui bahawa mereka merokok lantaran pengaruh daripada rakan sebaya. Sikap terikut-ikut dengan tabiat tidak sihat ini seterusnya akan menghanyutkan mereka sehingga merasakan bahawa merokok itu bukanlah sesuatu yang buruk atau tidak menyalahi etika hidup.
Tidak kurang juga remaja yang secara jujur mengakui bahawa rasa bosan dengan beban tugas sebagai pelajar telah mendorong mereka merokok. Jika alasan ini dikaji, ternyata kebanyakan pelajar ini merupakan mereka yang malas dan ada yang tidak menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira (3M). Oleh itu, mereka dengan mudah menuding jari kepada pihak lain. Ibu bapa yang merokok patut dipersalah kerana anak-anak kebiasaannya akan mengikut jejak langkah mereka.
Walaupun kita lihat banyak iklan mahupun kempen antimerokok dijalankan namun remaja tetap remaja. Naluri ingin tahu yang ada pada mereka acapkali mendorong mereka mencuba sesuatu yang ditegah. Naluri ini jika tidak dikawal akan mengakibatkan rasa ketagihan dan rasa seronok apabila dapat menghisap rokok.
Di Malaysia rokok boleh didapati dengan mudah dan boleh dibeli walaupun cuma sebatang. Keadaan ini menjadikan kempen antimerokok ‘seperti mencurah air ke daun keladi’. Malahan tabiat merokok berleluasa kerana dengan harga serendah empat puluh sen, pelajar sekolah sudah boleh membeli rokok. Memandangkan longgarnya penguatkuasaan terhadap penjualan rokok, kerajaan mesti mengambil langkah-langkah pencegahan supaya masalah remaja merokok dapat diatasi.
Amatlah malang seandainya remaja beranggapan bahawa mereka akan lebih bergaya dan kelihatan lebih matang apabila merokok. Alasan ini ternyata salah kerana merokok sebenarnya tidak mendatangkan sebarang kebaikan sebaliknya mengundang ketagihan yang berpanjangan.
A. Berikan maksud perkataan dan rangkai kata yang berikut
  1. menuding jari kepada pihak lain -
  2. naluri ingin tahu  -
  3. ‘seperti mencurah air ke daun keladi’
  4. berleluasa –
  5. langkah-langkah pencegahan
  6. mengundang ketagihan yang berpanjangan
Jawab soalan yang berikut bersdasarkan petikan
1.  Mengapakah penjual rokok tidak mematuhi arahan kerajaan agar tidak menjual rokok kepada remaja?
2.  Nyatakan dua  punca remaja merokok?
3.  Cadangkan dua langkah untuk mencegah remaja daripada merokok. [4 markah]

29 October 2014

Permainan Bahasa

Salam 1 Malaysia,

Peperiksaan akhir tahun sudah pun berakhir. Mesti cikgu-cikgu pening memikirkan aktiviti apa yang hendak dilakukan seperti saya. Saya pun dapat dari internet dari SKMethodist blog. Harap dapat membantu guru-guru BM

link -> permainan bahasa

12 September 2014

Kerja Cuti Sekolah - Penggal 2 2014

Daripada nota yang sebelum ini bertajuk karangan peribahasa.

Soalan :
Peribahasa " Harimau mati meninggalkan belang; manusia mati meninggalkan nama" sering digunakan untuk menggambarkan manusia akan dikenang kerana jasa dan budi yang telah dilakukan semasa hidupnya.

Tulis sebuah karangan berkaitan dengan peribahasa di atas.
Guna buku karangan 2 untuk karangan ini.

karangan peribahasa

Penggunaan peribahasa dalam karangan akan memberi impresi positif kepada pemeriksa bahawa anda mempunyai pengetahuan bahasa yang luas termasuk peribahasa. Oleh itu, anda perlu menggunakan peribahasa dalam setiap karangan.

Panduan menulis peribahasa dalam karangan.

1. Menggunakan satu tanda petik ` ’

Tanda petik jenis ini digunakan untuk menyatakan sesuatu tajuk atau bahagian yang difokuskan.

Contoh:

Peribahasa ‘usaha tangga kejayaan’ perlu dijadikan pegangan oleh sesiapa sesiapa sahaja yang ingin mengecapi kejayaan dalam hidup ini.

2. Menggunakan dua tanda petik "  "

Tanda dua petik digunakan untuk maksud konsep cakap ajuk atau unsur personifikasi, iaitu seolah-olah `pepatah’ itu manusia atau orang tua yang memberikan nasihat atau berkata-kata.

Contoh:

(a) Ibu bapa hendaklah mendidik anak sejak kecil bak kata pepatah,”kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

(b) Orang tua-tua mengatakan, “jauh perjalanan, luas pengalaman.” (Tiada kata hubung `bahawa')

3. Tanpa menggunakan tanda petik

Jika ayat tersebut berbentuk ayat cakap pindah atau keterangan, tanda petik tidak perlu digunakan.

Contoh:

(a) Setiap pelajar mestilah berusaha untuk mencapai kejayaan seseorang kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

(b) Ibu bapa sepatutnya menjadi model kepada anak-anak mereka kerana pepatah Melayu mengatakan bahawa bagaimana acuan begitulah kuihnya. (Ada kata hubung `bahawa')

Peribahasa (Perumpamaan dan pepata) Yang Terdapat Dalam Buku Teks Tingkatan 1 - 3

1.Air beriak tanda tak dalam
Banyak bercakap tanda tiada berilmu.
2.Alang-alang berminyak biar licin
Berbuat sesuatu jangan kepalang tanggung.
3.Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan
Kalau sudah terlanjur berbuat sesuatu, biarlah diperoleh hasil daripadanya.
4.Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan
Sangat menderita kesusahan meskipun bergaji besar (beristerikan atau bersuamikan orang kaya) atau hidup miskin di negara yang kaya dan makmur.
5.Bagai air mencari jenisnya
Berusaha untuk mencari ilmu dengan tidak berhenti-henti; usaha dengan tidak mengenal jerih payah.
6.Bagai ayam disambar helang
Mati tanpa sakit.
7.Bagai cendawan tumbuh selepas hujan
Terlalu banyak pada sesuatu masa.
8.Bagai cincin dengan permata
Pasangan pengantin yang sepadan.
9.Bagai kerakap tumbuh di batu, hidup segan mati tidak mahu
Hidup dalam kemelaratan. (Kerakap sebangsa sirih tetapi tidak dimakan orang.)
10.Bagai layang-layang putus tali
Tiada berpedoman. Sudah putus harapan,bergantung pada nasib sahaja.
11.Bagai menatang minyak yang penuh
Memelihara anak dengan penuh kasih sayang.
12.Bagai murai dicabut ekor
Orang yang suka bercakap.
13.Bagai minyak dengan air
Orang baik kalau duduk dengan orang jahat tidak akan menjadi jahat.
14.Bagai pucuk dilancarkan
Amat cepat
15.Bagaimana acuan begitulah kuihnya; bagaimana contoh begitulah gubahannya
Perangai anak biasanya mengikut orang yang mengasuhnya.
16.Baik membawa resmi padi daripada resmi lalang
Tidak sombong; rendah diri.
17.Belayar sambil memapan, merapat sambil belayar
Sesekali melakukan pekerjaan dua tiga maksud tercapai.
18.Belum duduk sudah berlunjur
Belum memperoleh sesuatu yang dikehendaki, sudah bergirang hati atau gembira lebih dulu.
19.Berat mata memandang berat lagi bahu memikul
Betapa berat kita melihat kesusahan yang dialami oleh seseorang, berat lagi penderitaan itu pada orang yang menanggungnya.
20.Berjagung-jagung dahulu sementara padi masak
Sementara menunggu apa yang baik, lakukan juga perkara-perkara yang berfaedah.
21.Bagai murai dicabut ekor
Orang yang suka bercakap.
22.Biar mati anak jangan mati adat
Adat yang tidak boleh dilanggar
23.Biar putih tulang jangan putih mata
Lebih baik mati daripada menanggung malu. 
24.Carik-carik bulu ayam , lama-kelamaan bercantum juga
Perselisihan faham antara saudara-mara dan adik-beradik tidak berpanjangan, akhirnya akan berbaik semula.
25.Diam-diam ubi berisi; diam-diam besi berkarat
Orang berilmu yang berdiam diri lebih baik daripada orang diam tetapi tidak berilmu.
26.Diibaratkan sebagai condong ditumpil, lemah dianduh
Memberi pertolongan kepada orang-orang di dalam kesusahan.
27.Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan
Seseorang yang bercita-cita tinggi akan berusaha untuk mencapainya.
28.Genggam bara api biar sampai jadi arang
Membuat sesuatu pekerjaan yang susah, hendaklah sabar sehingga mencapai kejayaannya.
29.Harimau mati meninggalkan belang; manusia mati meninggalkan nama
Orang baik meninggalkan nama baik, orang jahat meninggalkan nama jahat. Setiap manusia akan dikenang kerana jasa dan budi yang telah dilakukan semasa hidupnya.
30.Hendak belajar berenang dapatkan itik, hendak belajar memanjat dapatkan tupai
Setiap yang berkemahuan, tentu ada jalan.
31.Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih
Orang berilmu yang berdiam diri lebih baik daripada orang diam tetapi tidak berilmu.
32.Ibarat burung, mata terlepas badan terkurung
Tidak ada kebebasan atau kemerdekaan.

Contoh ayat: Rakyat di negara jajahan komunis itu ibarat burung,mata terlepas badan terkurung.
33.Jika ada kemenyan sebesar lutut pun, jika tidak dibakar tidak akan berbau
Kepandaian hendaklah diajarkan kepada orang lain, kerana kalau disimpan akan hilang begitu sahaja..
34.Kalau tak berada-ada tak akan tempua bersarang rendah
Tentu ada sebab yang tersembunyi menyebabkan sesuatu hal terjadi - Setiap kejadian meninggalkan kesan..
35.Kalau tiada rotan akar pun berguna
Sesuatu perkara yang dihajatkan sekiranya tidak dapat diperolehi memadai dengan apa yang ada.
36.Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya
Kita tidak akan mendapat hasil jika tidak berusaha.
37.Kalau tidak kerana angin tidak akan pokok bergoyang
Kalau terjadi sesuatu hal tentu ada sebab-sebabnya.
38.Perempuan serasan, lelaki pemalu
Pegangan hidup yang tidak serupa.
39.Sebagai gembala diberi keris
Orang yang mendapat sesuatu yang tidak berguna.
40.Sekali membuka pura, dua tiga hilang berbayar
Sekali melakukan pekerjaan dua tiga maksud tercapai.
41.Semacam besar pacak daripada tiang
Belanja lebih besar daripada pendapatan.
42.Seperti air dalam dulang
Negeri yang aman sentosa.
43.Seperti api di dalam sekam
Kejahatan yang dilakukan secara diam-diam atau tanpa disedari.
44.Seperti aur dengan tebing
Dua orang yang berkawan rapat dan saling membantu

Contoh ayat : Kita tidak boleh hidup menyendiri sebaliknya hiduplah seperti aur dengan tebing..
45.Seperti aur ditarik songsang
Pekerjaan atau perkara yang sukar diselesaikan kerana sudah tersalah jalan.
46.Seperti embun dihujung rumput
Tidak kekal.
47.Seperti harimau menyembunyikan kukunya
Orang yang menyembunyikan kelebihannya.
48.Seperti hujan jatuh ke pasir
Nasihat yang tidak dihargai atau sesuatu pekerjaan yang sia-sia.
49.Seperti lintah menghisap darah
Meletakkan faedah yang tinggi; menipu dengan cara lemah lembut.
50.Seperti lipas kudung
Selalu bergerak dengan cepat.
51.Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
Orang besar yang merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya.
52.Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran
Terlalu tamak untuk mencari keuntungan hingga menyebabkan kehilangan sesuatu yang sudah dimiliki.

sumber : http://karangan-bahasa-melayu-pmr.blogspot.com/2013/09/panduan-mengarang-karangan-peribahasa.html

10 September 2014

Latihan - Kesalahan Ejaan dan Imbuhan

Kesalahan Ejaan dan Imbuhan

MENGESAN DAN MEMBETULKAN KESALAHAN AYAT:

A. KESALAHAN EJAAN DAN PENGGUNAAN IMBUHAN:

Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

1. Pengusha ternakan ayam diminta tidak menjual ayam ternakan mereka dengan harga tinggi suka hati kepada pemborong ayam.

2. Pembenaan jambatan di kampung itu tergendala selama berapa bulan kerana masalah bekalan simen.

3. Junainah hanya terdiam diri apabila disindir oleh rakan setugasnya kerana dia tidak mahu membesar-besarkan cerita yang dianggap rimih itu.

4. Perompak yang sangat merbahaya itu Berjaya diberkas berdasarkan bukti yang ditemui oleh pihak polis.

5. Semua pelajar di sekolah itu diwajibkan melibat diri dalam kegiatan ko-kurikulum yang dijalankan.

6. Walau pun telah lama berada di luar Negara, sikap Daud yang keanak-anak masih tidak berubah.

7. Satu lapuran lengkap tentang kejadian kemalangan yang dilibatkan bas ekspres itu diserahkan kepada Menteri Pengangkutan.

8. Kosmitik yang dibuat daripada bahan yang beracun tidak dibenarkan jualan di negara ini.
9. Kedudukkan Lim Ah Boon di syarikat ayahnya dicemburu oleh adik-beradiknya.

10. Panel hakim memutuskan pihak pembangkang menang dalam debatan itu kerana pihak pencadang gagal mengemukakan definasi tajuk perbahasan dengan tepat.

11. Beranika jenis barang dijual di kedai yang meletak di hujung jalan itu dan harga yang ditawarkan berpatutan juga.

12. Pelancung asing yang dating ke majlis kebudayaan itu turut terhibur oleh persembahan tarian asli yang ditontonkan.

13. Calun lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran diingatkan supaya menyertakan semua salinan sijil yang telah disah oleh pihak sekolah.

14. Kehabisan peterol menyebabkan pelumba kereta dari Ghana itu tidak dapat menamatkan perlumbaan kerana suntuk masa.

15. Peninju yang berbadan gempal itu berjaya tumbang pencabarnya pada pusingan yang kelima.

16. Oleh sebab dia menghadap masalaah kewangan, dia terpaksa menolak tawaran yang diberikan oleh pegawai harta tanah itu.

17. Masih banyak orang yang mempercayai kaedah perubatan tradesional kerana mereka menganggap kaedah tersebut mampu menyembuhi pelbagai penyakit kronik.

18. Runtuh akhlak dalam kalangan remaja mengakibatkan ramai remaja tersebut terjebak dengan gejala gengsterisma.

19. Lepasan sekolah teknik dan vokaysional akan diberi peluang bagi menceburi diri dalam bidang perniagaan dan industri kecil.

20. Walaupun tewas tetapi pasukan bola sepak remaja kebangsaan mempamirkan permainan yang menarik dan penuh semangat sukan.

21. Kanak-kanak itu bertepok tangan sebaik-baik sahaja persembahan nyanyian sempena disambut kemerdekaan tanah air selesai.

22. Selepas upacara peresmian dewan, pegawai daerah itu dibawa lawatan ke bilik seminar.

23. Pendidikan pra-sekolah dikenalkan kepada kanak-kanak dalam lingkungan usia 4 hingga 6 tahun bagi tujuan mendedahkan mereka pada persekitaran sosial.

24. Atlit yang mewakili negara dalam Sukan Asia akan menerima imbuhan sekiranya menangi pingat dalam acara yang disertai.

25. Pemandu teksi di ibu kota sudah biasa diperangkap dalam kesesakan jalanraya terutama pada waktu puncak.

26. Pilihan raya kecil di kawasan itu bakal mengadakan berikutan kematian ahli parlimennya pada awal minggu lepas.

27. Kami singgah di Restoren Dusun untuk menikmati pelbagai hidangan dan masak tradisional Melayu pada minggu yang lalu.

28. Lima orang lelaki yang disyaki mencolek anak hartawan itu telah tertangkap oleh pihak polis di sebuah gudang kosong yang terletak di Ipoh.

29. Kelayakkan dalam bidang perakaunan sangat penting kepada seseorang yang ingin melibat diri dalam lapangan perniagaan.

30. Majlis pelancaran album baharu penyanyi popular itu telah diadakan secara besar-besar di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.

31. Jabatan Alam Sekitar akan bertindak tegas kepada mana-mana pehak yang melakukan kebakaran secara terbuka untuk menangani masalah jerebu yang semakin meruncing.

32. Jabatan Pengangkutan Jalan akan menguatkuasa undang-undang dari semasa ke semasa untuk mendisplinkan pengguna jalan raya terutama pada musim perayaan.

33. Sebagai anak, kita mestilah sentiasa menjaga marwah keluarga dengan menghindari diri daripada perbuatan yang mengaibkan keluarga.

34. Penduduk Kampung Permai sedang bergotong royong untuk memperlebarkan jalan kerana bilangan kenderaan yang melalui kampung itu semakin bertambah.

35. Dalam majlis itu, pelbagai persembahan telah mengadakan sempena hari keputeraan baginda yang ke 52 tahun.

36. Mereka kesali sikap pihak kontrekter yang tidak dapat menyiapkan projek perumahan tersebut mengikut jadual yang terdapat dalam butir-butir perjanjian.

37. Untuk mempastikan komputer sentiasa selamat samada daripada serangan virus atau daripada penceroboh sistem komputer, beberapa panduan telah disediakan oleh pembekal.

38. “Saya mempunyai kaki tangan yang berpengalaman luas dalam bidang kecantikan termasuk khidmatan menggunting rambut,” katanya dengan ramah.

39. Dalam perhimpunan raksaksa itu, Perdana Menteri telah menasihatkan rakyat supaya sentiasa bersatu padu untuk mengekalkan perpaduan yang sudah terjalin sekian lama.
40. Untuk membenteras kejadian jenayah yang semakin berleluasa, pihak kerajaan mestilah memperbesarkan pasukan anggota polis dengan menambahkan bilangan anggotanya.

41. Dalam sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ke 51 itu, pelbagai acara telah dirancangkan termasuk acara boria yang akan disembahkan oleh peserta dari negeri Pulau Pinang.

42. Semua ejensi kerajaan diarahkan bergabung untuk menjalani kajian bagi mencari punca sebenarnya yang menyebabkan berlakunya banjir besar sejak beberapa hari yang lalu.

43. Kerajaan menggubalkan sesuatu dasar pertanian berasaskan keperluan negara dengan mengambil kira masa depan sektor pertanian supaya sektor berkenaan dapat diurus dengan lebih efisyen.

44. Sistem perkhidmatan kaunter yang disediakan di semua stesyen bas ekspres telah dikenali bagi memudahkan pengguna serta meningkatkan perkhidmatan pengangkutan di negara kita.

45. Bersempena dengan sambutan hari ibu, kita digalakkan untuk menghadiahkan ibu kita dengan hadiah yang bertujuan untuk mengenang jasa mereka membesar kita sehingga dewasa.

46. Kementerian Pelajaran mendapati bahawa perlaksanaan dasar bahasa Inggeris dalam matapelajaran sains dan matematik perlu dikaji semula untuk memperbaiki kelemahan yang timbul.

47. Berita tentang kejayaan seorang pengkaji sejarah menemui pusara lama berusia 3000 tahun di pinggir sungai itu telah merebak ke seloroh negara.