11 May 2015

Contoh Soalan PT3 - Ting 3

BAHAGIAN A[25 markah]
1    Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan tatabahasa. Gariskan kesalahan tersebut dan tulis jawapannya pada ruangan yang disediakan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i)        Beberapa orang murid di sekolah menengah tersebut diberikan hadiah atas kejayaan mereka mengharumkan nama sekolah mereka di dalam pertandingan reka cipta itu.
___________________________________________
(ii)       Pihak pengurusan Sri Malaysia Hotel menawarkan pakej yang menarik kepada para pelanggan sempena cuti sekolah.
___________________________________________
(iii)      Pelancong dari negara Jepun itu sangat sukakan buah-buahan tempatan seperti durian dan manggis.
___________________________________________
(iv)      "Sudahkah kamu menyiapkan kerja rumah yang aku berikan semalam?" tanya Cikgu Azizi kepada murid-murid Kelas Tingkatan Tiga Kreatif.
___________________________________________

(8 markah)

2    Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan ejaan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan tersebut. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i)        Bandaraya itu seolah-olah hari siang kerana dilimpahi lampu jalan yang terang-benderang.
__________________________________________

(ii)       Stem yang bertemakan tahun arnab ini dicetak di atas plastik yang berwarna emas.
__________________________________________

(iii)      Penduduk di kawasan pedalaman itu hanya menggunakan eka-bahasa sahaja iaitu bahasa ibunda mereka.
__________________________________________
(3 markah)

3    Gabungkan ayat-ayat tunggal di bawah ini supaya menjadi satu ayat majmuk.
(i)        Kami akan ke negeri Sarawak hujung bulan ini.
Kami akan ke negeri Sarawak awal bulan hadapan.
_______________________________________________
_______________________________________________
(ii)       Pulau peranginan itu cantik.
Pulau peranginan itu tidak dijaga dengan baik.
_______________________________________________
_______________________________________________
(iii)      Murid itu rajin mengulang kaji pelajaran.
Murid itu mencapai kejayaan yang cemerlang.
_______________________________________________
_______________________________________________
(iv)      Saya ada masa pada hujung minggu ini.
Saya akan menziarahi rakan saya di hospital.
_______________________________________________
_______________________________________________
(v)        Azwana membaca surat.
Afifah membaca surat.
Surat dikirim oleh Bhaga.
_______________________________________________
_______________________________________________
                                                                            (10 markah)

4     Lihat gambar di bawah ini dengan teliti, kemudian tulis satu peribahasa yang sesuaidengan gambar tersebut.
       (i)

       _____________________________________________
      

(ii)


       _____________________________________________
                                                               (4 markah)

BAHAGIAN B[30 markah]
5    Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

"Adik nak berhenti sekolah. Bosanlah kena belajar selalu. Mana boleh paksa­paksa. Adik meluat betul dengan buku-buku dan cikgu yang semuanya garang." Begitulah lontaran ayat adik. Selamba.
"Kalau UPSR pun tak sempat nak ambil, nak buat apa? Jadi kuli? Makan tidur, makan tidur? Sanggup turun ke bendang? Sanggup menoreh? Atau lebih berminat nak jadi kutu merewang?"
"Hoi... Kak Cik apa tau? Orang dah malas nak belajarlah. Malas. Tak fahamkah? Lagi pun, kilang kan banyak? Susah apa?" jerkah adik biadab.
Bonda hanya menggelengkan kepalanya yang beruban.
"Adik... sedarkah keputusan ini boleh menghancurkan masa depan adik? Hanya orang berilmu dipandang mulia, nak." Sopan berhikmah pujukan bonda.
Adik mendengus kasar. Berlalu ke bilik menghempas kuat daun pintu sebagai tanda protes.
Ada pendaman impian yang tersimpan di atma bonda. Bonda berhajat menghantar adik ke sekolah agama setelah adik menamatkan sekolah rendahnya. Bonda mahu adik bergelar Ustaz Mohd. Harraz. Bonda mahu adik mewarisi kealiman suaminya, Lebai Sidi. Bonda mahu adik berjuang hingga Jiang syahid seperti arwah ayahnya.
(Dipetik daripada cerpen Mutiara Bonda oleh Siti Hajar Mohd Zaki, antologiHarga Sebuah Lukisan, Tingkatan 3, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i)      Berdasarkan petikan di atas, nyatakan tiga harapan bonda terhadap adik.
(3 markah)
_______________________________________________
_______________________________________________

(ii)     Huraikan perwatakan adik yang negatif berdasarkan petikan di atas.
(3 markah)
_______________________________________________
_______________________________________________

        (iii)    Pada pendapat anda, apakah punca yang menyebabkan murid suka ponteng sekolah pada               masa ini?                                                
(4 markah)
_______________________________________________
_______________________________________________


6    Baca sajak di bawah ini dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

SAJAK LAUT
Laut ini begitu biru
laut ini begitu luas
laut ini begitu indah.

Betapa bahagianya hati
laut ini membuatku bahagia
laut ini begitu tenang
begitu kaya.

Kulihat pasir putih
kulihat kerang
kurasakan ombak menyapa kaki
dan kurasakan
angin pantai membelai.

Seorang nelayan jauh di sana
berdiri di atas perahu kecil
menebarkan jala
mencari ikan untuk keluarga.

Burung laut menari-nari di sana
mengepak-ngepakkan sayapnya
begitu gembira mereka bernyanyi
bagai berlumba
dengan nyanyian ombak.

Setengah matahari kulihat di seberang
di seberang laut biru ini
bagai malu-malu ia mengintip
namun dengan setia
memberi sinarnya.

Hai, laut biru
hari ini juga aku nyatakan
kau adalah saudaraku!

ISMAIL SHARIF
(Dipetik daripada antologi Gema Sepi Gadis Genius,
Tingkatan 2, Dewan Bahasa dan Pustaka

(i)            Bagaimanakah keadaan laut yang digambarkan oleh penyajak?  
(3 markah)
_______________________________________________
_______________________________________________
(ii)          Nyatakan contoh gaya bahasa simile yang terdapat dalam Sajak Laut.  
(3 markah)
_______________________________________________
_______________________________________________
(iii)         Pada pendapat anda, apakah perbuatan negatif yang telah dilakukan oleh manusia sehingga menjejaskan laut?     
(4 markah)
_______________________________________________
_______________________________________________

7    Jawapan anda hendaklah berdasarkan satu daripada novel yang telah anda kaji diTingkatan 3.
(i)       6:20 karya Siti Jasmina Ibrahim
(ii)          Cempaka Putih Untukmu karya Rohani Deraman
(iii)         Merenang Gelora karya Ruslan Ngah
Berdasarkan sebuah novel yang anda telah kaji, huraikan tiga latar masyarakat yang terdapat dalam novel tersebut. Berikan satu contoh bagi setiap latar masyarakat tersebut.
(10 markah)

BAHAGIAN C
[15 markah]
8    Lihat gambar Kempen Kitar Semula di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam gambar tersebut, tulis ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan.
Kitar Semula Bermula daripada Anda!


KEBAIKAN AMALAN KITAR SEMULA

·     Mewujudkan Persekitaran yang lebih Bersih
·     Mengurangkan Ancaman Alam Sekitar
·     Menjimatkan Kos Penyelenggaraan Tapak Pelupusan Sampah
·     Mengurangkan Kuantiti Sampah
·     Menyelamatkan Hutan



BAHAGIAN D
[30 markah]

9      Pilih satu daripada soalan di bawah ini. Tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 180 patah perkataan.

(i)    Andaikan anda ketua pengawas. Anda diminta menyampaikan ucapan dalam majlis perpisahan yang diadakan untuk meraikan anda.
Tulis teks ucapan anda itu selengkapnya.

(ii)    Anda dan rakan anda berbual-bual tentang sikap masyarakat Malaysia yang lebih mengutamakan barangan dari luar negara.
Tulis perbualan antara anda dengan rakan anda itu.

(iii)    Prestasi ahli sukan negara kita semakin merosot belakangan ini.
Berikan pendapat anda tentang cara-cara untuk meningkatkan prestasi ahli sukan negara.

2 April 2015

SAJAK LAUT

Analisis Sajak

Sajak
Maksud
Laut ini begitu biru
laut ini begitu luas
laut ini begitu indah.

Penyajak memerihalkan tentang laut yang membiru dan luas terbentang terlalu indah dipandang.
Betapa bahagianya hati
laut ini membuatku bahagia
laut ini begitu tenang
begitu kaya.


Keindahan dan ketenangan laut dapat memberi kebahagian dan ketenangan kepada penyajak.

Kulihat pasir putih
kulihat kerang
kurasakan ombak menyapa kaki
angin pantai membelai.

Penyajak menikmati keadaan dan suasana kawasan laut seperti terdapat kulit kerang dan pasir pantai yang putih.

Seorang nelayan jauh di sana
berdiri di atas perahu kecil
menebarkan jala
mencari ikan untuk keluarga.
Penyajak memerhatikan seorang nelayan di tengah lautan. Seorang nelayan berdiri seorang diri di atas sebuah perahu kecil sambil menebarkan jala untuk menangkap ikan bagi mencari rezeki menyara keluaraga.

Burung-burung laut menari-nari di sana
mengepak-ngepakkan sayapnya
begitu gembira mereka bernyanyi
bagai berlumba
dengan nyanyian ombak.

Kelihatan burung-burung berkicauan dan berterbangan bebas ke sana dan ke sini diiringi dengan bunyi deruan ombak.


Hai, laut biru
hari ini juga aku nyatakan
kau adalah saudaraku!
Penyajak juga dapat melihat keindahan matahari terbenam di seberang laut.


Laut nan biru, mendamaikan fikiran yang celaru.


Tema : Sajak ini mengemukakan tema keindahan pemandangan di kawasan laut yang dapat menenangkan jiwa seseorang.

Persoalan:
·         Keindahan kawasan laut dapat menenangkan jiwa – penyajak dapat berasakan ketenangan jiwa apabila menikmati suasana di kawasan laut.
·         Kegigihan mencari rezeki – nelayan gigih menangkap ikan bagi menyara kehidupan keluarganya.
·         Keindahan alam ciptaan tuhan – suasana kawasan laut menandakan betapa indahnya alam ciptaan tuhan.

Dengan merenung alam, bisa menjernihkan fikiran yang kelam.


Bentuk:
·         Sajak ini terdiri daripada enam rangkap.
·         Rima akhir adalah bebas.
·         Jumlah baris serangkap bebas.
Contohnya :
Rangkap 1- 3 baris
Rangkap 2 – 4 baris dan sebagainya.
·         Jumlah perkataan sebaris antara dua hingga lima patah perkataan.
·         Jumlah suku kata sebaris antara lima hingga empat belas suku kata.

Gaya Bahasa
Contoh
Personafikasi
kurasakan ombak menyapa kaki (R3,B3)
angin pantai membelai. (R3,B5)
Simile
begitu gembira mereka bernyanyi
bagai berlumba (R5,B4)
Sinkof
Kulihat pasir putih (R3,B1)
Anafora
Laut ini begitu biru
laut ini begitu luas
laut ini begitu indah. (R1,B1 – 3)
Kata Ganda
mengepak-ngepakkan sayapnya (R5,B2)

Unsur Bunyi
Contoh
Asonansi
begitu gembira mereka bernyanyi (R5,B3)
Aliterasi
mencari ikan untuk keluarga. (R4,B4)

Nada : Sajak ini bernada romantis.

Panorama indah di Pulau Payar, Langkawi.

Nilai:
·         Kesyukuran: Bersyukur dengan nikmat keindahan alam yang mampu memberikan ketenangan dalam  hidup kita.
·         Kegigihan: Kegigihan nelayan mencari rezeki untuk menyara keluarga.

Pengajaran:
·         Kita hendaklah bersyukur dengan keindahan alam ciptaan tuhan – keindahan dan ketenangan di kawasan laut dapat memberi ketenangan.
·         Kita perlulah gigih berusaha untuk mendapatkan rezeki – nelayan berusaha gigih bagi mendapatkan rezeki untuk menyara keluarga.
·         Kita seharusnya menghargai keindahan alam sekeliling kita.

Belajar dari alam.

26 March 2015

Cerpen: Capa Rengat


CAPA RENGAT
( Baharuddin Kahar )

Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
Sinopsis:

Cerpen 'Capa Rengat' mengisahkan seorang remaja yang ingin merasai kehidupan di kampung ibunya. Pada waktu petang, "Aku" akan mengikut bapa saudaranya Pak Cik Kinto, ke bukit-bukit di keliling kampung untuk menyedut udara segar dan menembak burung-burung serta menjengah ikan-ikan di sungai. Hubungan Pak Cik Kinto dan "Aku" seperti belangkas.

Pada sebelah petangnya. "Aku" tidak dapat ke mana-mana kerana Pak Cik Konto pergi untuk berurusan dengan peguam. Ibu "Aku" pula berasa bosan tinggal lebih lama di kampung. "Aku" mengambil keputusan merayu-rayau di sekeliling di kampung. Ketika lalu di sebidang paya, "Aku" melihat lima orang anak muda sedang bermain di bahagian tepi paya.

Seorang budak perempuan, Su mengajak "Aku" bermain bersama-sama mereka. Permainan yang dimainkan begitu janggal dan "Aku" berasa kekok pada permulaannya tetapi kemesraan budak-budak kampung menghilangkan rasa kekok "Aku". Akhir sekali, "Aku" diajak bermain rumah katak. Setiap kali rumah katak "Aku" siap dibina, Su akan memecahkannya.

"Aku" cuba menangkap Su kerana mempersenda-senda kebolehan "Aku". Rupa-rupanya, Su begitu lincah meniti batang dan melompat hingga ke seberang paya. Tanpa diduga, Su menghampiri "Aku" dan menghadiahkan sekuntum bunga Capa Rengat atau bunga melur hutan yang berbau wangi. Kami seolah-olah dibuai perasaan apabila berganding bahu menyiapkan rumah katak dalam kota buatan.

Tiba-tiba, ketika "Aku" dan Su asyik membina jalan menuju pintu masuk kota buatan, seorang budak lelaki berumur lapan tahun menjerit nama Su. Su terpaksa pulang ke rumah dengan segera. "Aku" mengenal pasti Su mempunyai seorang ibu tiri yang bengis daripada kawan-kawan sepermainan. Budak yang memanggilnya Su itu ialah adik tirinya.

Pada sebelah malamnya, "Aku" tidur dengan nyenyak. Bunga Capa Rengat diletakkan di dalam botol berisi air. "Aku" ingin merasai kesegaran bau wangi Capa Rengat dalam tidur.

Setelah sehari berada di kampung, ibu memutuskan siri lawatan ke kampung dipendekkan. Pak Cik Kinto dan Mak Cik Kinto meminta ibu memanjangkan tempoh di kampung tetapi ibu mendesak-desak untuk pulang. "Aku" berasa terharu untuk meninggalkan kampung dan kesayuan hatiku makin mendayu-dayu.

Dalam keadaan separuh sedar, "Aku" bertanyakan kepada ibu tentang kesediaannya untuk pulang ke kampung semula. Malangnya ibu melahirkan ketegasan untuk tidak pulang ke kampung lagi kerana urusan tanah dan rumah pusaka selesai. Keputusan ibu membuatkan "Aku" sedih apabila "Aku" terpandang bunga Capa Rengat yang sudah layu dan terkenangkan wajah Su.

Tema:

Perasaan cinta pada kehidupan dan suasana di kampung. "Aku" telah mengalami pengalaman yang menarik hidup di kampung. Contohnya, semasa "Aku" mengikut Pak Cik Kinto menembak burung dan menyedut udara pergunungan yang segar.

Persoalan:
  1. Persoalan perasaan cinta sesama manusia melangkaui budaya. Contohnya, "Aku" yang berasal dari bandar menyukai Su yang tinggal di kampung yang jauh dari arus pembangunan.

  2. Persoalan kemesraan membuahkan kualiti persahabatan. Contonya, Kemesraan yang ditunjukkan oleh Su kepada "Aku" menyebabkan "Aku" amat suka tinggal di kampung hingga sukar untuk melupakan kampung walaupun pada asalnya "Aku" amat tidak selesa berada di kampung.

  3. Persoalan menghargai keaslian alam sebagai anugerah Tuhan. Contohnya, Dapat dilihat pada watak "Aku" yang menghargai dan menjaga Capa Rengat yang diberikan oleh Su.

  4. Persoalan mengenang kembali tempat asal usul. Contohnya, Su seronok mandi sungai dan bermain 'kota Buatan' tempat asal ibunya.
Plot:
1. Permulaan
"Aku" pulang ke kampung bersama-sama dengan ibunya untuk menguruskan tanah pusaka dan rumah pusaka. Mereka berdua tinggal di rumah Pak Cik Kinto, bapa saudara "Aku". Pada waktu pagi, Pak Cik Kinto melayani "Aku" dengan membawanya berjalan-jalan di bukit sekeliling kampung.
2. Perkembangan
Pada sebelah petang, "Aku" merayau-rayau di sekeliling kampung kerana Pak Cik Kinto ke kota untuk berurusan dengan peguam. "Aku" betemu dengan sekumpulan budak kampung yang sedang bermain di tepi paya. Salah seorang budak perempuan kampung yang bernama Su mengajak "Aku" bermain bersama-sama dengan mereka. Ketika bermain, Su telah memberikan "Aku" sekuntum bunga Capa Rengat ( melur hutan ). Kerana leka bermain, Su dipanggil pulang oleh adik lelaki tirinya pulang ke rumah. "Aku" pulang ke rumah dan meletakkan bunga Capa Rengat dalam botol berisi air.
3. Klimaks
Keesokan paginya, "Aku" dikejutkan dengan keputusan ibu untuk pulang ke kota. "Aku" berasa sedih dengan keputusan ibu kerana baru hendak merasai kenikmatan suasana kampung.
4. Peleraian
"Aku" pulang ke kota dengan kenangan yang indah hasil pemberian bunga Capa Rengat daripada Su, seorang gadis kampung.
Teknik Penceritaan:
Cerita disusun mengikut kronologi urutan masa.
1. Pemerian
Contoh: Kami menyedut udara pergunungan yang segar. Kami melihat burung-burung berterbangan. Di samping itu, Pak Cik Kinto tidak pernah lupa membawa senapang patah, kalau-kalau bertemu denak.
2. DialogContoh:
Contoh: "Cantik. ya!" kata budak perempuan itu.
"Cantik," jaeabku pendek sambil merenung matanya yang jernih ghairah itu.
3. Kejutan
Contoh: Adik tiri Su muncul dan memanggil Su pulang semasa "Aku" sedang bermain dengan Su dan kawan-kawannya.

Watak dan Perwatakan
1. "Aku"
  • seorang anak remaja

  • menghargai alam sekitar

  • proaktif dan cergas

  • mempunyai pandangan bernas

  • berfikiran positif

2. Ibu
  • pertengahan usia

  • tegas dengan pendirian

  • sikap terburu-buru membuat keputusan

  • prihatin terhadap orang lain

  • berperilaku mesra

3. Su
  • budak perempuan awal remaja

  • bersikap periang

  • aktif dan cergas

  • bijak mengolah keadaan

  • taat kepada ibu
4. Pak Cik Kinto
  • bapa saudara "Aku"

  • mahir selok-belok di kampung

  • mempunyai kemahiran menembak

  • ikhlas melayani tetamu

  • melaksanakan urusan dengan cekap
Latar:
Masa
  1. Pagi: - "Aku" dan ibu bertolak pulang ke bandar setelah seharian berada di kampung.

  2. Petang: - "Aku" dibawa oleh Pak Cik Kinto ke bukit di belakang rumah Pak Cik Kinto untuk menikmati pemandangan dan menyedut udara segar di situ.

  3. Malam: - "Aku" tidur dengan nyenyak kerana terlalu letih setelah seharian bermain dengan budak-budak kampung.
Tempat
Latar tempat cerita berkisar di sebuah perkampungan Melayu yang berlatar belakang bukit-bukau dan tanah paya
  1. Bukit di belakang rumah Pak Cik Kinto - tempat Pak Cik Kinto membawa "Aku" bersiar-siar untuk menikmati pemandangan dan menyedut udara segar di situ.

  2. Paya - tempat kanak-kanak kampung berenang dan bermain di tepinya.

  3. Rumah Pak Cik Kinto - tempat "Aku" dan ibi bermalam ketika pulang ke kampung.

Masyarakat
  1. Masyarakat bandar. Contoh: Diwakili oleh watak "Aku" yang berasal dan dibesarkan di bandar begitu kekok waktu mula-mula sampai di kampung.

  2. Masyarakat kampung. Contoh: Pak Cik Kinto yang sering ke hutan untuk berburu.

  3. Masyarakat yang berpegang teguh pada ajaran Islam. Contoh: Ibu membetulkan tudungnya yang ditiup angin supaya melindungi rambutnya kerana untuk menutupi aurat.

  4. Masyarakat yang menghargai alam sekitar. Contoh: Su sangat mengenali alam kampungnya dan menyukainya serta menghadiahi "Aku" bunga Capa Rengat.

  5. Masyarakat yang suka berburu. Contoh: Pak Cik Kinto sering berburu di hutan.
Gaya Bahasa:
  1. Kata ganda. Contoh: Tiba-tiba, seolah-olah, bukit-bukit, kadang-kadang, baik-baik
  2. Anafora. Contoh: Mengapa menjadi sayu? Mengapa menjadi kesepian?
  3. Inversi ( Keterbalikan ayat ). Contoh: Demi memandang gunung-gunung dan padang belukarnya yang subur itu, segala rasa kesepian itu hilang. Sepatutnya. Segala rasa kesepian itu hilang apabila memandang gunung-ganang dan padang belukarnya yang subur itu.
  4. Personifakasi. Contoh: Melahirkan sinar cemburu.
  5. Simile. Contoh: Seperti ada sesuatu yang memukul-mukul hatiku.
  6. Simpulan bahasa. Contoh: Seperti belangkas.
Nilai:
  1. Nilai keberanian. Su berani untuk meniti di atas sebatang tiang untuk menyeberang sungai yang dalam .
  2. Nilai hemah tinggi. Su dan rakan-rakan menegur aku dan mengajak aku bermain bersama mereka walaupun baru pertama kali berjumpa.
  3. Nilai kerajinan. Pak Cik Kinto rajin untuk membawa aku berburu bagi mendapatkan rezeki.
  4. Nilai kerjasama. Su dan aku bekerjasama membina rumah katak semasa bermain.
Pengajaran:
  1. Kita hendaklah menghargai alam sekitar. Contoh: Pak Cik Kinto dan aku menghargai keindahan alam sekitar semasa pergi berburu di hutan.
  2. Kita hendaklah menghargai persahabatan. Contohnya "Aku" menghargai persahabatan dengan Su dan sanggup menjaga bunga Capa Rengat yang diberi oleh Su kepadanya.
  3. Kita hendaklah menyemaikan kasih sayang antara keluarga. Contoh: "Aku" menyayangi Pak Cik Kinto bapa saudaranya walaupun baru saja mengenalinya.
  4. Kita hendaklah bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara yang sukar. Contoh: Su, "Aku" dan rakan-rakannya bekerjasama membina rumah katak dan jalan ke rumah katak.
rujukan : http://tintalidaf.blogspot.com/2011/01/cerpen-capa-rengat.html