29 April 2013

Drama - Hemodalisis


Drama: Hemodialisis

Sipnosis
     Drama Hemodialisis mengisahkan Abah yang sakit tetapi enggan mendapatkan rawatan terutama daripada anaknya sendiri Dr. Afif.  Abah tidak mahu menyusahkan ahli keluarganya dan lebih selesa berada di rumah.  Abah menganggap dia akan mati tanpa mahu berusaha mengubati penyakitnya.  Abah cuba dipujuk oleh cucunya, Nabilah tetapi gagal.  Abah dibawa ke klinik secara paksa.  Setelah empat jam, abah pulang bersama-sama mesin hemodialisis yang dikendalikan sendiri.

     Abah berasa tidak selesa dengan mesin itu. Dr. Afif menerangkan tindakannya memaksa abah ke klinik dan merawatnya kerana ingin membalas budi dan mahu abah terus hidup.  Abah dikunjungi oleh Fatin Atiqah dan teman lelakinya Saufi.  Fatin Atiqah menyampaikan berita bahawa dia telah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaannya.  Abah yang terlalu gembira telah terlucut wayar mesin hemodialisisnya.  Keadaan menjadi cemas.  Abah berjaya diselamatkan oleh Dr. Afif.
           
Tema
Kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga.

Persoalan
1.      Persoalan hubungan kekeluargaan yang erat/mesra.
2.      Persoalan tentang tugas dan tanggungjawab doktor.
3.      Persoalan menyerah diri/mengharapkan kematian apabila sakit.


Watak dan Perwatakan
     Abah
Ø  Berusia 63 tahun. Mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak – Dr. Afif, Fiqri dan Fatin Atiqah. Menantu - Zarina dan cucu - Nabilah.
Ø   Menghidap penyakit buah pinggang - terpaksa menggunakan mesin hemodialisis.

Ø  Seorang penulis yang hebat – diakui oleh Dr. Afif.

Ø  Seorang yang tidak mahu menyusahkan anak-anak – tak bagi mama menelefon anak-anak.

Ø  Seorang yang bersifat penyayang, tegas – mendidik anak-anak sehingga berjaya.

Ø  Tidak mementingkan diri sendiri – tidak mengambil kesempatan walaupun anaknya seorang doktor.

Ø  Seorang yang suka bergurau.

Dr. Afif
Ø  Bijak - doktor pakar. 
Ø  Penyayang - ambil berat tentang keluarga.
Ø  Mengenang  jasa orang tua – menyanjung tinggi pengorbanan abahnya.
Ø  Cekap bekerja.
Ø  Pantas bertindak apabila mendapat panggilan daripada mama. 
Ø  Berkorban untuk bapanya - memberi mesin hemodialisis di kliniknya untuk abah.

     Mama 
Ø  Isteri yang penyayang.
Ø  Ambil berat akan keluarganya. 
Ø  Patuh dan taat akan suaminya.
Ø  Suka bergurau. Sabar - walaupun kena marah. 
Ø  Cepat bertindak - tidak mudah panik (abah pengsan).

     Fatin Atiqah
Ø  Bijak - pelajar cemerlang di universiti.
Ø  Sayang akan bapanya - ambil berat.
Ø  Cepat panik -terus balik apabila mendapat panggilan daripada mama.

     Nabilah 
Ø  Cucu abah.
Ø  Anak Dr. Afif dan Zarina.
Ø  Penyayang.
Ø  Cakap lepas.


Plot
Teknik plot dan pembinaan plot

Plot drama Hemodialisis adalah mengikut kronologi. 

Permulaan cerita
Abah sakit perut dan mama mencadangkan supaya memanggil Dr. Afif di klinik.  Hasrat mama ditentang oleh abah. 

Perkembangan cerita
 Abah pengsan. Dr. Afif datang ke rumah dan memujuk abah supaya ke klinik untuk mendapatkan rawatan.  Konflik abah bertambah apabila Nabilah datang memujuk abah dan Dr. Leong datang membawa kerusi roda.  Abah dibawa ke klinik secara paksa.  Abah pulang dengan mesin hemodialisis.  Abah masih tidak berpuas hati dan berhujah dengan Dr. Afif. 
Klimaks
Wayar mesin hemodialisis Abah tercabut. 

Peleraian cerita
Abah diselamatkan oleh Dr. Afif.

Latar
Masa
Ø  Siang hari.
Ø  Waktu pagi.

Tempat
Ø  Ruang tamu rumah Abah.


Masyarakat
Ø  Golongan tua yang sakit enggan mendapatkan rawatan.
Ø  Masyarakat yang berpendidikan / berpelajaran.
Ø  Masyarakat yang mengutamakan / memikirkan kepentingan    
Ø  Masyarakat yang hanya berserah kepada takdir- tua,sakit-mati.

Gaya Bahasa
1.      Sinkope
       Contoh:  nak (hendak), ni (ini), dah (sudah), tak (sudah), tu (itu)

2.   Sajak
      Contoh: m/s: 27

3.  Bahasa Inggeris
Contoh:  I am a doctor, and I want to be your doctor. I promise to be your good doctor.  (m/s 8)

Nilai
1.      Nilai kasih sayang
      Contoh:  Kasih sayang anak-anak terhadap bapa yang sakit.
2.      Nilai hormat menghormati
      Contoh:  Dr. Afif tetap menghormati abahnya.
3.      Nilai  menghargai jasa
      Contoh:  Dr. Afif amat menghargai jasa abahnya.
4.      Nilai  prihatin
      Contoh:  Mama amat prihatin terhadap kesakitan yang dideritai oleh suaminya. 
5.      Nilai  kesabaran
      Contoh:  Dr. Afif tetap bersabar dengan karenah bapanya yang tidak mahu ke kliniknya untuk berubat.
6.      Nilai menghargai ilmu
      Contoh: Fatin Atiqah belajar di salah sebuah universiti dan telah lulus dengan cemerlang.

Pengajaran
1.      Kita perlu menyayangi setiap ahli keluarga.
2.      Kita mesti menghormati orang yang lebih tua dan berpengetahuan daripada kita.
3.      Kita perlu menghargai jasa kedua-dua ibu bapa yang telah mendidik kita.
4.      Kita harus mengambil berat akan masalah yang dialami oleh orang lain.
5.      Kita perlu bersabar untuk mengelakkan persengketaan.
6.      Kita perlu bersabar menghadapi karenah orang tua.
7.      Kita harus menghargai ilmu yang dimiliki oleh seseorang / Kita perlu menuntut ilmu sepanjang hayat.

sumber : http://arifbahasa2.blogspot.com/2012/07/drama-hemodialisis.html

22 April 2013

SYAIR MENDAPAT GEMALA NAGA - ANWAR RIDHWAN DAN RAHMAN SHAARI

ANALISIS TEKS SYAIR
Syair
Maksud
Dewa pun duduk ia bercerita,
Asal mulanya dapat sengsara,
Oleh disakitkan saudara,
Setahun sudah di dalam penjara.

Dewa bercerita tentang mereka yang dikhianati oleh saudara mereka lalu dipenjarakan selama setahun.

Sekalian habis diceritakan,
Suatu tidak dilindungkan,
Terlalu belas naga mendengarkan,
Diambil gemalanya lalu diberikan.

Setelah habis dewa dua beradik bercerita, naga berasa kasihan mendengar cerita tersebut lalu memberikan batu geliga saktinya kepada mereka.

Ambillah tuan muda bestari,
Gemala ini nenek memberi,
Harganya itu tujuh buah negeri,
Apa kehendak keluar sendiri.

Naga menerangkan kepada dewa dua beradik, batu geliga sakti ini sangat bernilai kerana mampu menunaikan sebarang hajat hati dan tujuan empunya diri.

Jikalau orang terkena bisa,
Airnya sapukan beri berasa,
Jika ditolong Tuhan Yang Esa,
Dengan seketika beroleh sentosa.

Batu geliga sakti itu dapat merawat sebarang penyakit dan memberi ketenangan jiwa dengan Tuhan yang Esa.

Atau cucuku hendak berperang,
Di dalam gua keluarlah orang,
Beribu keti keluarlah orang,
Dua belas hulubalang yang garang-garang.

Jika hendak berperang, batu geliga sakti boleh menyediakan tentera beserta dengan hulubalangnya.
Setelah dewa mendengarkan kata,
Terlalu suka di dalamnya cita,
Lalu bermohon keduanya serta,
Menuju jalan tanahnya rata.
Setelah mendengar kata-kata naga itu, dewa dua beradik berasa sangat gembira lalu memohon diri untuk beredar dari situ dan meneruskan perjalanan mereka.

Berjalan ia berdua bersaudara,
Mengikut pantai tepi segara,
Siang dan malam tiada antara,
Terus ke negeri Inderanegara.

Kedua-dua bersaudara itu menyusuri pantai tanpa mengira siang dan malam untuk menuju ke sebuah negeri bernama Inderanegara.
Setelah sudah paginya hari,
Sampailah ia ke hujung negeri,
Bertemulah rumah sebuah berdiri,
Rumah kebayan orang yang bahari.

Apabila tiba pagi hari, dewa dua bersaudara akhirnya tiba ke hujung negeri dan bertemu rumah nenek kebayan.



Tema:Pengembaraan dua bersaudara untuk mendapatkan Gemala Naga (Batu Geliga Sakti Naga).

Persoalan:

·         Setia kawan iaitu dewa dua bersaudara saling membantu untuk menghadapi dugaan.
·         Prihatin terhadap permasalahan orang lain seperti naga yang prihatin dengan permasalahan dewa dua bersaudara lalu menghadiahi mereka dengan gemala sakti.

Bentuk:

·         Syair ini mengandungi lapan rangkap, setiap rangkap mengandungi empat baris.
·         Syair ini mengandungi antara tiga hingga lima patah perkataan  sebaris.
·         Jumlah suku kata sembilan hingga tiga belas suku kata sebaris.
·         Rima akhir tetap ‘a,a,a,a’.

Gaya Bahasa
Contoh
Inversi
Setahun sudah di dalam penjara. (R1,B4)
Sinkof
Dewa pun duduk ia bercerita, (R1,B1)
Kata Ganda
Dua belas hulubalang yang garang-garang(R5,B4))

Unsur Bunyi
Contoh
Asonansi
Apa kehendak keluar sendiri. (R3,B4)
Aliterasi
Berjalan ia berdua bersaudara, (R7,B1)

Nilai:

·         Keberanian: Dewa berani mempersembahkan diri kepada naga yang pebuh sakti untuk mendapatkan gemala sakti.
·         Kesetiaan: Dewa bersaudara setia bersama mengharungi kesusahan dalam pengembaraan mereka.
·         Kasih sayang: Naga berasa simpati dan belas terhadap dewa bersaudara yang telah dikhianati oleh saudara mereka.

Pengajaran:

·         Kita haruslah membantu orang yang ditimpa kesusahan.
·         Kita mestilah menghormati orang yang lebih tua daripada kita.
·         Kita hendaklah memohon kepada Allah agar kehidupan kita sentiasa diberkati.

sumber : http://tamanseribupuisi.blogspot.com/2012/05/syair-mendapat-gemala-naga-anwar.html

Soalan :
1. Nyatakan tema dan persoalan yang terdapat dalam syair ini ?
______________________________________________________________________________

2. Apakah kegunaan batu geliga yang diberikan oleh naga tersebut ?
______________________________________________________________________________

3. Berikan 2 contoh aliterasi dalam novel ini?
______________________________________________________________________________
4. Senaraikan 2 pengajaran yang terdapat dalam syair ini?
______________________________________________________________________________