24 September 2020

Sajak : Sang Gembala Kuda - Tingkatan 4


 Sang Gembala Kuda

Dia lelaki bergelar perkasa
dengan cemeti keberanian di tangan
rembat angkuhnya memacu takut
menghalau kuda-kuda di padang
berebutan memburu kandang.

Rumput dan jerami terhidang
adalah kanun janji kesetiaan 
dimamah rakus kala lapar
tak peduli nasib diri setelah kenyang
jadi tunggangan memburu rakan.

Dia lelaki punya kuasa
sesekali suaranya lebih gempita
daripada ringkik kuda sekandang
pacuannya diiring seribu keberanian
meredah onak di rimba perburuan
meranduk lumpur di paya penindasan
sambil melibas cemeti durjana
dia melempar muslihat
aku penyelamat maruah
berjuang atas dasar kebenaran
menentang semua kebobrokan. 

Dia lelaki sang gembala kuda
hanya mengenal pantas tunggangan
tanpa membaca keletihannya
dia lelaki sang gembala kuda   
hanya tahu mengejar kehebatan
tanpa menghitung kesakitannya
dan kuda-kuda itu ditunggangi
ditunggangi dan ditunggangi!  

MAKSUD SAJAK

Rangkap 1: Sang gembala kuda ialah seorang lelaki yang gagah. Berbekalkan keberanian yang dimilikinya, dia dengan angkuh merembat kuda dengan menggunakan cemeti untuk menakutkan kuda-kuda itu sambal menghalau kuda-kuda yang sedang berada di padang bersegera balik ke kandang.

Rangkap 2: Sementara itu, rumput dan jerami merupakan makanan yang lazim terhidang dan akan dimakan oleh kuda-kuda ketika lapar. Setelah kenyang, kuda-kuda itu tidak peduli akan nasib mereka dijadikan kuda tunggangan untuk menjejaki kuda-kuda yang lain.

Rangkap 3: Dengan kuasa yang ada padanya dan apabila sesekali bersuara nyaring, sang gembala kuda begitu berani dan yakin menunggang kuda-kuda itu menempuh segala rintangan dan kepayahan. Dia bijak menggunakan tipu helahnya dengan berpura-pura sebagai penyelamat maruah yang kononnya berjuang atas dasar kebenaran dan menentang segala penipuan.

Rangkap 4: Sang gembala kuda ialah seorang lelaki yang hanya ingin mengetahui kepantasan larian kudanya tanpa mempedulikan kepenatan kuda itu. Sang gembala kuda juga hanya tahu mengejar kejayaan tanpa mengambil kira kesengsaraan kuda itu. Sang gembala kuda hhanya mementingkan diri apabila kuda-kuda itu terus ditunggangi berulang-ulang kali tanpa rasa belas.

TEMA
Sajak ini bertemakan kekuasaan penjaga kuda dan penganiayaan tenaga haiwan yang dilakukannya terhadap kuda-kuda tunggangannya. Berbekalkan kuasa yang dimiliki, dengan angkuh dan berani, penjaga kuda Berjaya menakutkan serta mengawal kuda-kudanya kembali ke kandang. Penjaga kuda hanya mementingkan diri dan sanggup menggunakan sepenuh tenaga kuda-kudanya tanpa mempedulikan nasib haiwan tunggangannya itu.

PERSOALAN
1.     Kekuasaan mempengaruhi gaya kepimpinan.
2.     Ketegasan dalam memimpin.
3.     Penganiyaan terhadap haiwan.
4.     Kepatuhan menurut pemerintah.
5.     Keberaniaan menempuh cabaran dan rintangan.
6.     Kebijaksanaan mengeksploitasi golongan yang lemah.
7.     Pasrah dan reda akan ketentuan Ilahi.


BENTUK SAJAK
1.     Sajak ini berbentuk bebas atau tidak terikat.
2.     Sajak ini terdiri daripada empat rangkap.
3.     Bilangan barisnya tidak sama, iaitu rangkap pertama ada lima baris, rangkap kedua ada lima baris, rangkap ketiga ada sebelas baris, dan rangkap keempat ada  lapan baris.
4.     Jumlah patah kata  dalam setiap baris juga tidak sama, iaitu antara tiga hingga enam patah kata setiap baris.
5.     Jumlah suku kata  dalam setiap baris terdiri daripada lapan hingga tiga belas  suku kata.
6.     Rima akhir sajak ini bebas/tidak sama;  abcdd, abcab, aabccadecc, abaabacc.

GAYA BAHASA DAN KEINDAHAN BUNYI
1.     Pemilihan kata yang indah dan ayat atau baris yang dibentuk adalah puitis. Contohnya:
(a)   Rembat angkuhnya memacu takut – rangkap 1, baris 3
(b)   Meredah onak di rimba perburuan – rangkap 3, baris 5
2.     Epifora. Contohnya, perulangan kata ditunggangi – rangkap 4, baris 7 dan baris 8.
3.     Repetisi atau perulangan. Contohnya:
Ditunggangi dan ditunggangi – rangkap 4, baris 8.
4.     Penggunaan metafora. Contohnya:
(a)    Rimba perburuan
(b)   Paya penindasan
(c)    Cemeti durjana
5.     Personifikasi. Contohnya:
(a)   Rembat angkuhnya memacu takut – rangkap 1, baris 3
(b)   Pacuannya diiringi seribu keberanian – rangkap 3, baris 4
6.     Hiperbola. Contohnya:
Dimamah rakus kala lapar – rangkap 2, baris 3
7.     Sinkope. Contohnya:
Tak peduli nasib diri setelah kenyang – rangkap 2, baris 4
8.     Inversi. Contohnya:
Dan kuda-kuda itu ditunggangi – rangkap 4, baris 7
Sepatutnya: kuda-kuda itu ditunggangi dan
9.     Unsur bunyi:
(a)   Asonansi. (perulangan bunyi vokal). Contohnya:
i.                 sesekali suaranya lebih gempita
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi vocal sebanyak tiga kali.
ii.               menentang semua kebobrokan
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi vocal sebanyak tiga kali.
(b)   Aliterasi. (perulangan bunyi konsonan). Contohnya:
i.                 ditunggangi dan ditunggangi!
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi konsonan dsebanyak tiga kali.
ii.               dia melampar muslihat
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi konsonan msebanyak dua kali.

NADA
Sajak ini bernada sinis. Nada sinis sesuai dengan sajak “Sang Gembala Kuda” yang menyatakan sikap mementingkan diri penjaga kuda dalam menjalankan tugasnya hingga menganiayai dan mengabaikan soal-soal penjagaan khusus terhadap haiwan itu.

NILAI
1.     Nilai tanggungjawab. Contohnya, penjaga kuda bertanggungjawab menjaga kuda tunggangannya dengan mengurus makan dan minum secara baik.
2.     Nilai keberanian. Contohnya, penjaga kuda berani menempuh berbagai-bagai kepayahan dan rintangan sewaktu menjaga kuda-kuda itu.
3.     Nilai kebijaksanaan. Contohnya, penjaga kuda bijak mengawal kuda tunggangannya detika dia menghalau kuda-kuda itu masuk ke kandang.
4.     Nilai kegigihan. Contohnya, penjaga kuda gigih melaksanakan tugasnya menjaga kuda-kuda tunggangan walaupun terpaksa menggunakan kekerasan terhadap kuda-kuda itu.
5.     Nilai kepatuhan. Contohnya, sekumpulan kuda digambarkan patuh akan arahan penjaga kuda.

PENGAJARAN
1.     Kita hendaklah bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang telah diberikan oleh ketua.
2.     Kita mestilah berani mengahadapi berbagai-bagai rintangan tanpa mudah berputus asa.
3.     Kita perlulah gigih berusaha dalam melaksanakan satu-satu tugas agar kejayaan dapat dikecapi akhirnya.
4.     Kita sewajarnya patuh akan arahan dan suruhan ketua demi keharmonian sesebuah organisasi.
5.     Kita hendaklah bijak dalam merancang dan menjalankan tugas dengan baik dan sempurna.

21 September 2020

KOMSAS

 Soalan-soalan KOMSAS 2020

KOLEKSI PUISI TRADISIONAL SPM -LINK

SOALAN PUISI TRADISIONAL - LINK

9 September 2020

Kesalahan penggunaan kata

 KESALAHAN PENGGUNAAN KATA DALAM BAHASA MELAYU


1.       Pendahuluan

Kesalahan penggunaan kata dalam bahasa Melayu merupakan salah satu daripada aspek kesalahan umum bagi kebanyakan penutur. Bentuk-bentuk kesalahan seumpama ini sememangnya biasa digunakan oleh penutur-penutur bahasa Melayu tetapi salah dari segi tatabahasa.
Kesalahan–kesalahan ini dapat kita tinjau dari beberapa sudut:
(a)    bentuk jamak
(b)    penggunaan kata sendi nama
(c)    penggunaan kata gant diri
(d)    etimologi
(e)    kesalahan makna
(f)     hukum D-M

2.       Kesalahan Menggunakan Kata dalam Bentuk Jamak

Dalam bahasa Melayu, sering terdapat kesalahan penggunaan kata yang sudah mendukung pengertian jamak.

Contoh :
                  * mereka-mereka yang berkenaan sudah pun dijemput

Kata mereka sudah membawa maksud jamak. Oleh itu, kata tersebut pada kebanyakan kes tidak perlu diulang untuk menunjukkan bentuk jamak.

                  Mereka yang berkenaan sudah pun dijemput.

Kesalahan penggunaan kata yang sudah menunjukkan maksud jamak juga dapat dikaitkan dengan penggunaan kata bilangan.

Contoh :
                  *dua buah buku-buku
                  *semua pelajar-pelajar

Kata bilangan dua  dan semua sudah menerangkan maksud bilangan. Oleh sebab itu, buku dan pelajar tidak perlu diulang lagi untuk memberikan pengertian jamak, misalnya;

                  dua buah buku....
                  semua pelajar....
Kesalahan penggunaan kata ini juga dapat dikesan dalam ayat yang mempunyai kata nama yang diulang untuk membawa pengertian jamak yang hadir bersama-sama dengan pengulangan adjektif dalam konstituen predikat.

Contoh :
                  *buku-buku di mejanya tebal-tebal

Buku tidak perlu diulang untuk membawa pengertian jamak kerana dengan mengulang adjektif tebal menjadi tebal-tebal itu sudah tergambar maksud jamak walaupun kata buku tidak diulang.

                  Buku di mejanya tebal-tebal.

3.       Kesalahan Menggunakan Kata Sendi Nama

Kata sendi ialah kata yang letaknya di hadapan frasa nama. Kata sendi bertugas untuk menghubungkan frasa nama dengan kata-kata atau frasa-frasa lain dalam ayat. Contoh kata sendi ialah akan, antara, dalam, dari, daripada, demi, dengan, di, sampai, ke kepada, oleh, pada, sejak, seperti.


Pemilihan kata sendi nama juga sering kali menimbulkan kekeliruan. Kesalahan dalam penggunaan kata sendi nama ini dapat dikesan dalam contoh-contoh yang menggunakan kata sendi nama dari, daripada, di, pada, kepada dan ke.Kata sendi nama ialah kata tugas yang mendahuli kata nama.

Kata sendi nama dari digunakan untuk merujuk tempat, masa dan arah (temarah). Manakala kata sendi nama daripada digunakan untuk perkara-perkara yang lebih umum seperti untuk orang, perbandingan, asal kejadian dan sebagainya.

Contoh :
                   *Rombongan itu datang daripada Kuala Kangsar.
Seharusnya :
                     Rombongan itu datang dari Kuala Kangsar.

Kata sendi nama di yang digunakan untuk tempat sering dikelirukan pula dengan kata sendi nama pada yang digunakan untuk masa, orang, binatang dan benda abstrak. Contoh-contoh kesalahan penggunaan kata di dan pada dapat diperhatikan dalam ayat-ayat berikut:

Contoh :
                      Salah                                       Betul
                      *di zaman ini                           pada zaman ini
                      *di hari ini                               pada hari ini
                      *di masa itu                            pada masa itu

Kata sendi nama ke pula sering dikelirukan penggunaannya dengan kata sendi nama kepadaKe digunakan untuk tempat dan benda konkrit yang tidak bernyawa sementara kepada digunakan untuk benda bernyawa dan benda abstrak kecuali kata yang menunjukkan masa.

Contoh :
                      Salah                                       Betul
                    *kepada Sabah                        ke Sabah
                    *ke Aminah                             kepada Aminah

Penggunaan kata sendi nama ini juga selalu diabaikan apabila predikat diluaskan dengan menambahkan keterangan. Hal ini berlaku dalam ayat yang predikatnya mengandungi kata kerja tak transitif (intransitif) atau adjektif. Contoh-contoh kesalahan dan pembetulannya adalah seperti berikut:

Contoh :
                       Salah                                       Betul
                    *balik kampung                        balik ke kampung
                    *pergi kedai                             pergi ke kedai

4.      Kesalahan Menggunakan Kata Ganti Diri

Kata ganti diri ialah kata yang digunakan untuk menggantikan nama seseorang. Kata ganti diri terbahagi kepada tiga,  iaitu diri orang pertama, diri orang kedua dan diri orang ketiga.
Contoh :
(a) kata ganti diri orang pertama: saya, aku, beta, daku, patik, kami, kita, dan hamba.
(b) Kata ganti diri orang kedua : anda, engkau, awak, kamu, kalian, tuanku, dan dikau.
(c) Kata ganti diri orang ketiga : ia, dia, mereka, baginda, beliau, dan -nya.

Kesalahan menggunakan kata ganti diri yang selalu berlaku ialah berhubung dengan penggunaan kata ganti diri ketiga. Penggunaan kata beliau sebenarnya khusus untuk orang yang dihormati, tetapi selalu digunakan dengan sewenang-wenangnya dan disamakan dengan kata ganti diri ia atau dia.

Contoh :

      {*Tan Seri Sani / Datuk / }telah bersetuju dengan agenda tersebut.
      { Tuan Pengarah} [Ia / Dia ] akan hadir dalam mesyuarat itu kelak.

 {*Tan Seri Sani / Datuk / }telah bersetuju dengan agenda tersebut.
      { Tuan Pengarah} Beliau akan hadir dalam mesyuarat itu kelak.

5.     Kesalahan Etimologi
    
        Kesalahan berkenaan dengan etimologi (mengkaji asal usul dan perkembangan
   sesuatu bahasa) dapat dilihat melalui dua aspek. Aspek yang pertama ialah      
   kesalahan bentuk kata dan yang kedua ialah kesalahan makna. Kesalahan dalam    bentuk kata ini meliputi ejaan dan seterusnya akan mempengaruhi sebutannya. 
   
  Contoh-contoh kesalahan yang dapat dikesan dalam bahan-bahan bertulis adalah 
   seperti yang berikut:

     Salah                                      Betul
                        *ugama, igama                         agama
                        *istirehat                                  istirahat
                        *kapan                                     kafan

  (*kapan bermaksud bila; yang dimaksudkan di sini ialah kain kapas yang   digunakan untuk membungkus mayat)

6.     Kesalahan Makna

Kesalahan berlaku disebabkan tradisi merujuk kamus tidak begitu ketara dalam kalangan masyarakat kita dan penggunaan sesuatu kata itu hanya mengikut kebiasaan. Contoh-contoh kesalahan adalah seperti yang berikut:
                             
                                 apa dan siapa

    Kata tanya apa digunakan untuk menanyakan benda dan binatang telah 
    digunakan    untuk menanyakan nama orang.
   
   Salah                                       Betul
  *Apakah nama awak?             Siapakah nama awak?
  *Nama awak, apa?                 Nama awak, siapa? atau
                                               Siapa nama awak?
             
                                bila dan apabila
  
   Bila merupakan kata tanya sedangkan apabila ialah kata hubung pembentuk     
   klausa.
   Kesalahan yang sering berlaku ialah penggunaan bila sebagai kata penghubung. 
  
   Contoh :

                  Salah                                         Betul
      *Kamu boleh pergi bila dia pulang!     Kamu boleh pergi apabila dia pulang!
             
                               banyak dan ramai
 Makna kedua-dua kata ini sering menimbulkan kekeliruan. Banyak orang   
 menganggap bahawa banyak adalah khas untuk binatang dan benda, sementara  
 ramai khas untuk manusia.Sebenarnya kata banyak juga boleh digunakan untuk 
 manusia. Binatang dan benda. Kata ramai pula boleh menunjukkan suasana 
 tempat. 

Contoh :

     (i)      Banyak lembu yang mati kerana terkena penyakit kuku.
(ii)      Kerusi lama telah banyak yang rosak dan kini sebahagiannya telah digantikan dengan kerusi yang baru.
(iii)     Ramai orang berduyun-duyun ke pesta pantai. 
(iv)   Banyak orang berpendapat amalan menabung merupakan tabiat yang positif.

                                golongan dan gulungan
Kedua-dua perkataan ini mempunyai makna yang berbeza. Kata golongan yang bererti ‘kalangan’ atau ’kelompok’ sering dikelirukan dengan gulungan yang bererti suatu benda atau barang yang bergulung seperti tikar dan kertas.

Contoh :

(i)  Dalam sistem demokrasi {golongan} pembangkang merupakan saingan{gulungan} pihak kerajaan.
(ii)      {Gulungan} kertas itu kurang rapi.
{Golongan}

                               guna dan pakai
Guna  - melakukan sesuatu dengan ....
Pakai - mengenakan pakaian, kasut, barang perhiasan dan sebagainya

Contoh :

(i)      {*Pakai} pisau yang tajam untuk membelah ikan itu.
{Gunakan}
(ii)      Mereka telah menjolok jambu itu dengan {menggunakan)
         {memakai}  pengait.
(iii)     Jangan {pakai} kasut apabila masuk ke dalam masjid.{guna}

                             pedalaman dan pendalaman
Erti pedalaman iaitu kawasan atau daerah yang jauh terpencil sering dikelirukan dengan kata pendalaman yang bererti perihal mendalamkan, tindakan (proses, dll), mendalamkan (KD, 2005 :307).

Contoh :

(i)      Saya pernah menjadi guru di {pedalaman} selama tiga tah
         {pendalaman}

(ii)     Padi huma banyak ditanam di kawasan {pedalaman}.
        {pendalaman}.

                            pendapat dan pendapatan
Pendapat      -  buah fikiran atau pandangan
Pendapatan  -   jumlah wang yang diperoleh dalam jangka waktu tertentu (KD, 2005 :313).

Contoh :

(i)      Pendapat yang dikemukakan oleh pembahas itu sangat bernas.
(ii)     Pendapatannya cukup untuk dia menyekolahkan lima orang anaknya.


7.       Hukum D – M (diterangkan – menerangkan)

Kesalahan penggunaan kata dalam bahasa Melayu juga dapat dilihat dari sudut Hukum D-M. Hukum ini merupakan satu sifat susunan kata dalam bahasa Melayu yang berbeza dengan bahasa Inggeris. Dalam Hukum D-M, D melambangkan ’yang diterangkan’ (head) manakala D melambangkan ’yang menerangkan’ (modifier).

Dalam bahasa Inggeris, penerang mendahului kata utamanya (inti) sementara hal yang sebaliknya berlaku dalam bahasa Melayu. Kesalahan yang dapat dikesan ialah susunan kata bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh susunan kata dalam bahasa Inggeris.

Contoh :

              Salah                                           Betul
           Rosli Klinik                                    Klinik Rosli
           Minah Restoran                             Restoran Minah
           Cili Sos                                         Sos Cili
           Lain-lain Hal                                  Hal-hal Lain
           Ipoh Kedai Pajak Gadai                  Kedai Pajak Gadai Ipoh
           Goreng pisang                               Pisang goreng
           Lain faktor                                     Faktor lain