CONTOH JAWAPAN KARANGAN CEMERLANG
Sedasawarsa ini, dek terlalu dilingkari dengan kemajuan sains dan teknologi, negara ini acap kali tersentak dengan isu masyarakat yang semakin luntur kecintaannya terhadap alam sekitar yang seharusnya dipupuk sejak kecil lagi. Isu ini bukan sahaja menular di media massa seperti akhbar, televisyen dan Internet malahan, isu ini sering meniti dari bibir ke bibir seluruh masyarakat di negara ini termasuklah di warung-warung kopi mahupun di dewan-dewan parlimen. Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan nilai kecintaan terhadap alam sekitar? Mengapakah nilai ini sewajarnya dipupuk sejak usia masih kecil lagi? Nilai kecintaan terhadap alam sekitar ialah sikap cinta terhadap alam sekitar sehingga melahirkan usaha untuk sentiasa memelihara dan memulihara keindahan alam sekitar. Nilai ini sangat wajar untuk dipupuk kerana nilai ini sangat penting dalam melestarikan keindahan alam di negara kita demi kebaikan bersama. Apabila nilai ini mulai disemai sejak kecil lagi, isu pencemaran alam sekitar yang semakin meruncing malah membimbangkan masyarakat dapat ditangani dengan drastik dan dapat dikurangkan. Apalah gunanya jika negara makmur dengan teknologi canggih tetapi muflis nilai kecintaan terhadap alam sekitar. Siapakah golongan sasaran yang perlu memikul obligasi berat dalam melaksanakan uslub kudsi ini? Sudah tentulah murid-murid yang masih berada di alma mater menjadi sasaran masyarakat bagi menjaga dan melestarikan alam sekitar ini. Hal ini adalah kerana peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebung seharusnya diaplikasikan demi kebaikan bersama. Oleh itu, peranan pelbagai pihak di sekolah dalam memupuk amalan mencintai alam sekitar dalam diri murid-murid akan mewarnai fokus perbincangan ini demi kemaslahatan bersama.
Antara peranan pihak sekolah adalah dengan menganjurkan program ataupun ‘Kempen Mencintai Alam Sekitar’ setiap tahun dan menyuburkan sikap cinta terhadap alam sekitar. Dengan ini, murid-murid akan semakin tinggi pengetahuan mereka tentang kebaikan dan kepentingan menjaga keindahan alam sekitar. Sebagai contohnya, pihak sekolah boleh melaksanakan pelbagai aktiviti yang lebih menarik supaya dapat menggamit minat murid-murid untuk menyertai aktiviti ataupun kempen yang dijalankan. Seperti Kuiz Alam Sekitar yang boleh dianjurkan oleh Kelab Pencinta Alam Sekitar di setiap sekolah. Kembara Alam Sekitar juga boleh dilaksanakan dengan melibatkan guru-guru dan murid-murid supaya dapat memberikan pendedahan yang dapat membuka minda murid tentang peri pentingnya alam sekitar pada masa ini. Dalam aktiviti tersebut, guru-guru seharusnya membimbing murid-murid untuk lebih mengetahui spesies dan kehidupan alam sekitar supaya mereka dapat mengetahui pelbagai prakarsa untuk melestarikan keindahan alam sekitar. Secara tidak langsung, generasi akan datang juga dapat menikmati keindahan alam sekitar yang sentiasa terjaga ini. Dengan pendekatan ini, nilai-nilai negatif dalam diri murid dapat dilunturkan supaya tidak menjadi bebaun kepada negara pada masa akan datang. Apakah nilai-nilai negatif yang dimaksudkan itu? Nilai tersebut adalah seperti nilai mementingkan diri yang hanya mengutamakan ganjaran material tetapi tidak terhadap nilai kemanusiaan sehingga sanggup beraja di hati, bersultan di mata demi selaut ganjaran yang dijanjikan. Oleh itu, guru-guru seharusnya bersikap prihatin dan sentiasa berusaha menggembleng tenaga untuk melaksanakan kempen dan aktiviti tersebut supaya dapat menyemaikan amalan mencintai alam sekitar dalam diri murid-murid.
Selain itu, guru-guru juga sewajarnya menjalankan pelbagai uslub seperti mengadakan Sudut Info Alam Sekitar supaya dapat memberikan dan menambahkan pengetahuan murid-murid tentang alam sekitar yang semakin ditelan kerakusan manusia dek pembangunan sehingga mengorbankan keindahan dan kesucian alam sekitar. Contoh yang boleh diketengahkan adalah dengan mengadakan pameran tentang informati dasi alam sekitar di papan kenyataan sekolah sama ada di kantin, di lobi mahupun di dinding-dinding sekolah yang memaparkan ilustrasi yang menarik supaya dapat memikat minat murid untuk membaca, menghayati dan mengaplikasikan sikap mencintai alam sekitar dalam kehidupan seharian mereka sehinggalah ke usia tua nanti. Hal ini adalah kerana apabila murid-murid sering dikelilingi dengan pelbagai informasi yang bermanfaat, maka akan lahirlah individu yang berpengetahuan luas, berimformasi yang sering menjadi visi dan misi setiap sekolah. Oleh itu, dengan golongan sasaran inilah yang akan menjadi cerucuk utama dan pencetus kemajuan negara dalam pelbagai aspek termasuklah maju pemikirannya sehingga mampu untuk memikirkan akibat dan padahnya jika hanya mengikut hati dalam setiap tindakan. Dengan ini, tangan dan kaki mereka tidak akan teradaya untuk memusnahkan alam sekitar yang penting untuk dilestari supaya mereka tidak tergolong dalam kalangan yang rakus memuaskan hati mereka semata-mata mengaut segunung keuntungan. Jadi, guru-guru seharusnya tidak mengamalkan sikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ataupun melepaskan batuk di tangga dalam memupuk nilai kecintaan murid terhadap alam sekitar.
Pena ini akan terus membicarakanbaik di hadapan murid-murid malahan guru-guru juga seharusnya menjadi suri teladan yang perlu dicontohi oleh setiap murid dalam pelbagai aspek. Oleh itu, guru-guru adalah antara golongan yang sering bersama dengan murid selain ibu bapa mereka. Justeru, guru-guru mahupun semua pihak di sekolah juga seharusnya menunjukkan sikap yang baik seperti membuang sampah di tempat yang sepatutnya dan bersama-sama membersihkan halaman sekolah mahupun kelas supaya mereka dapat bekerjasama sekali gus mengeratkan silaturahim sesama mereka. Tiada gunanya guru-guru sekadar menasihati tetapi tidak berusaha mendekati murid-murid untuk melakukan setiap pekerjaan yang digalakkan itu. Jika guru-guru mengamalkan sikap sedemikian, mereka akan berasa malas dan alpa dengan hanya bersembang dan berbual-bual kosong semasa menjayakan aktiviti membersihkan sesuatu kawasan tersebut. Melalui pemantauan guru-guru, murid-murid akan lebih fokus dan bekerjasama menjayakan setiap aktiviti yang dirancang. Izharlah bawaha pihak sekolah seharusnya berusaha bersama-sama murid-murid bagi setiap aktiviti yang dijalankan supaya akan terpaparlah nilai kecintaan terhadap alam sekitar dalam diri murid-murid.
Sebagai kesimpulannya, semua pihak terutamanya pihak guru-guru di alma mater seharusnya bersatu untuk memupuk amalan men-murid cintai alam sekitar dalam diri murid supaya golongan ini dapat menjadi pembangun kepada keindahanan alam sekitar di negara kita. Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Oleh itu, pihak sekolah seharusnya berusaha untuk menganjurkan dan melaksanakan uslub-uslub tersebut supaya amalan mencintai alam sekitar dapat disuburkan dalam diri murid-murid sejak di bangku sekolah lagi. Mereka seharusnya didedahkan dengan pelbagai informasi dan maklumat supaya mereka tidak seperti di bawah tempurung kerana sekiranya kita maju dalam pelbagai bidang dan cabang di peringkat antarabangsa tetapi tidak ada nilai mencintai alam sekitar, tiada gunanya. Oleh itu, murid-murid juga perlu sedar bahawa alam sekitar sangat penting kepada negara. Persis kata-kata Allahyarham Profesor Hamka, “kecantikan bukanlah pada wajah semata-mata tetapi pada akhlaknya.” Jadi, kita perlulah melestarikan dan mencintai alam sekitar demi kebaikan sejagat.
[984 patah kata]
CONTOH 2
LANGKAH MENERAPKAN PENDIDIKAN ALAM SEKITAR DI SEKOLAH
Pencemaran alam telah membuatkan banyak pihak sedar akan kepentingan pendidikan alam sekitar dalam kehidupan.
Bincangkan langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi menerapkan pendidikan alam sekitar di sekolah.
.......Pendidikan alam sekitar dapat didefinisikan sebagai satu bentuk pendidikan bagi menyelamatkan alam sekitar daripada terus dirosakkan. Hal ini penting bagi membendung kerosakan yang dilakukan oleh manusia terhadap alam sekitar. Antara kerosakan itu adalah mencemarkan air dan udara, menggunakan bahan yang sukar dilupuskan, menebang hutan tanpa kawalan, menarah tanah tinggi, serta menggunakan air dan tenaga elektrik yang berlebihan. Ancaman ini telah membuatkan pendidikan alam sekitar dilihat sebagai satu senjata ampuh yang mampu mengubah tingkah manusia kepada menyayangi alam sekitar daripada terus digunakan secara sewenang-wenangnya. Terdapat pelbagai langkah yang boleh dilakukan bagi menerapkan pendidikan alam sekitar di sekolah.
Bincangkan langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi menerapkan pendidikan alam sekitar di sekolah.
.......Pendidikan alam sekitar dapat didefinisikan sebagai satu bentuk pendidikan bagi menyelamatkan alam sekitar daripada terus dirosakkan. Hal ini penting bagi membendung kerosakan yang dilakukan oleh manusia terhadap alam sekitar. Antara kerosakan itu adalah mencemarkan air dan udara, menggunakan bahan yang sukar dilupuskan, menebang hutan tanpa kawalan, menarah tanah tinggi, serta menggunakan air dan tenaga elektrik yang berlebihan. Ancaman ini telah membuatkan pendidikan alam sekitar dilihat sebagai satu senjata ampuh yang mampu mengubah tingkah manusia kepada menyayangi alam sekitar daripada terus digunakan secara sewenang-wenangnya. Terdapat pelbagai langkah yang boleh dilakukan bagi menerapkan pendidikan alam sekitar di sekolah.
.......Antaranya adalah dengan mengadakan kempen ‘Sayangi Alam Sekitar’. Bagi menguruskan kempen ini, maka Persatuan Alam Sekitar boleh bekerjasama dengan pihak sekolah bagi melicinkan perjalanan program yang dirancang. Antara program yang boleh dijalankan sepanjang kempen ini diadakan ialah pertandingan melukis poster, pertandingan mencipta dan mendeklamasikan puisi, pertandingan menulis esei, pertandingan pidato, syarahan dan debat, ceramah tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan pelbagai lagi aktiviti yang boleh menarik minat pelajar. Kesemua aktiviti ini menjurus kepada satu matlamat, iaitu memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Tegasnya, kempen sebegini harus dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan agar kesedaran yang ingin ditanam ranum di sukma mereka sebagai pemegang amanah kepada kelangsungan hijaunya alam sekitar.
.......Selain itu, Kementerian Pelajaran perlu mengkaji keperluan mewujudkan mata pelajaran Pendidikan Alam Sekitar sebagai subjek elektif di sekolah. Hal ini disebabkan oleh sikap remaja masa kini yang memandang enteng akan kepentingan menjaga alam sekitar. Mereka juga kabur akan rasionalnya, di samping diburukkan lagi dengan sikap tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, Sains, dan Geografi yang telah memasukkan topik berkenaan alam sekitar, maka pengekalan perlu dilakukan. Seandainya cadangan mewujudkannya sebagai mata pelajaran elektif tidak dilaksanakan, maka sekurang-kurangnya kita sudah ada persediaan ke arah mengangani masalah pencemaran alam sekitar yang semakin meruncing. Ringkasnya, silibus tentang pendidikan alam sekitar perlu diwujudkan, tidak kiralah sebagai subjek tunggal mahupun sisipan memandangkan kepentingannya dalam jangka panjang.
.......Di samping itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan gotong-royong memghijaukan kawasan sekolah. Program penghijauan ini boleh dilakukan dengan menanam pokok-pokok di sekitar kawasan sekolah. Antara pokok-pokok yang boleh ditanam ialah pokok buah-buahan dan pokok perhiasan, seperti pokok bunga. Selain memcantikkan sekolah dan memberi hasil untuk dimakan, penanaman pokok ini sebenarnya telah membantu penambahan pengeluaran gas oksigen yang diperlukan oleh tubuh badan manusia. Program ini sebegini juga mampu mendidik remaja agar mengawal aktiviti penggondolan hutan secara berleluasa seperti yang didepani oleh dunia dewasa ini. Ringkasnya, aktiviti seperti ini sememangnya penting dalam mendidik tabiat sayang akan alam sekitar sejak di bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
.......Bukan itu sahaja, sekolah boleh mengenakan peraturan baru bagi penggunaan air dan elektrik di sekolah. Hal ini bertujuan bagi mengawal penggunaan elektrik dan air daripada terus dibazirkan. Penggunaan elektrik dan air yang tidak terkawal merupakan salah satu bentuk kerosakan terhadap alam sekitar. Hal ini demikian kerana penggunaan elektrik yang berlebihan telah membebaskan gas-gas beracun seperti monoksida yang mampu mengancam ekosistem dan kesihatan manusia juga. Sekolah boleh menggariskan beberapa peraturan seperti menutup lampu setiap jam8.30 pagi misalnya, kecuali pada hari hujan dan mendung. Kipas pula perlu dihentikan sekiranya pelajar tidak berada di dalam kelas, umpamanya pergi ke makmal dan ketika waktu rehat. Bagi memastikan pelaksanaan peraturan ini berjaya, maka pengawas perlu prihatin dan bertanggungjawab memantau dan memastikan lampu dan kipas telah dimatikan sebelum meninggalkan kelas. Jelasnya, tindakan sebegini bukan sahaja mampu menjimatkan penggunaan air dan elektrik tetapi dapat memupuk sikap berjimat cermat dalam kehidupan seharian kerana agama Islam menyifatkan pembaziran itu merupakan amalan syaitan.
.......Malahan, Kementerian Sumber Asli boleh bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi menjalankan program kitar semula di sekolah. Walaupun program ini pernah diperkenalkan suatu tika dahulu, tetapi kali ini kerajaan perlu lebih proaktif. Sebagai contoh, kerajaan perlu menjelaskan konsep kitar semula dengan jelas, sama ada melalui media elektronik, media cetak, mahupun buku teks. Bahkan, kerajaan perlu melabelkan tong-tong kitar semula dengan perkataan, bukan lagi sekadar lambang dan simbol. Ternyata simbol yang terdapat pada setiap tong tidak banyak membantu kerana masih terdapat remaja, malah masyarakat yang keliru dan tersalah meletakkan bahan buangan ke dalam tong lain. Antara bahan buangan yang boleh dikitar semula di sekolah ialah, surat khabar, kertas, tin aluminium, botol minuman plastik, dan kaca. Hal ini secara tidak langsung menjimatkan sumber dan mengelakkan penerokaan serta penebangan hutan secara berleluasa.
.......Seperti yang kita sedia maklum, remaja cukup sinonim dengan hiburan. Malahan, ada di antara mereka yang menjadikan artis popular sebagai idola. Sudah terang lagi bersuluh, atas dasar itulah kementerian perlu memanfaatkan situasi ini dengan sebaik mungkin. Sudah tiba masanya lagu kitar semula digubah dan dinyanyikan oleh artis popular tanah air. Lantaran itu, ceramah yang diadakan di sekolah boleh disampaikan oleh duta alam sekitar yang dilantik daripada kalangan artis. Meskipun begitu, artis yang dilantik perlu mempunyai ilmu dan minat yang mendalam terhadap pelestarian alam sekitar. Kita tidak mahu remaja hanya berhibur, sedangnya nilai kecintaan terhadap alam sekitar dikesampingkan. Sesungguhnya, kerajaan perlu mendapat pencerahan dalam memastikan pembenihan cinta akan alam sekitar dibugarkan dengan cara bilazim supaya pencambahan itu dapat dilakukan dengan lebih segar.
.......Sebagai intiha, pelestarian alam sekitar sebenarnya bukan bermula di bangku sekolah, sebaliknya harus disemai, dibaja dan disiram di rumah. Lebih-lebih lagi, tidak mungkin kayu yang bengkok mampu menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Atas dasar itu, ibu bapa perlu mencitrakan perlakuan yang boleh dijejaklangkahkan oleh anak-anak. Kerajaan dan guru hanya melengkapkan pengisian yang telah dicurahkan semasa anak-anak di rumah. Ingatlah, alam ini hanya pinjaman daripada generasi mendatang. Lantaran itu, seandainya semua pihak memainkan peranan masing-masing, tidak mustahil pencemaran alam sekitar hanya menjadi kenanga
No comments:
Post a Comment