30 July 2013

Latihan Novel

Makluman kepada pelajar-pelajar 2E, disini saya memberi latihan novel. Sila salin soalan dan buat dalam buku latihan KOMSAS.

Soalan :

Berdasarkan novel yang anda kaji, nyatakan 3 watak sampingan beserta huraikan perwatakan setiap watak yang dipilih.

25 July 2013

Prosa Tradisional - Hikayat Anggun Cik Tunggal

 Sinopsis :

Kapal milik Raja Anggun Cik Tunggal bernama Dendang Panjang sedang berlabuh. Tiba-tiba sebuah lancang kuning berlabuh betul-betul di hadapannya. Bujang Selamat bertanya kepada pemilik lancang kuning mengapa berlabuh secara melulu. Si Kembang Cina yang berada dalam lancang kuning dengan beraninya menerangkan hajat nakhodanya.
           
Raja Anggun Cik Tunggal yang tercabar dengan kelancangan Si Kembang Cina telah mengisytiharkan perang terhadap kebiadaban nakhoda lancang kuning iaitu Nakhoda Ragam.  Berlakulah tembak menembak di antara Raja Anggun Cik Tunggal dengan Nakhoda Ragam (Tuan Puteri). Dalam insiden itu, Tuan Puteri nyaris-nyaris terkorban akibat tembakan Raja Anggun Cik Tunggal yang langsung tidak usul periksa.  Dalam keadaan yang terdesak itu, Tuan Puteri menyalin pakaiannya dan menunjukkan identitinya yang sebenar iaitu Tuan Puteri Gondan Ganariah iaitu tunangan Raja Anggun Cik Tunggal. Hal ini menyebabkan Raja Anggun Cik Tunggal tekejut dan malu lalu lari ke biliknya sambil berselubung.

            Tunangannya, Tuan Puteri Gondan Gandariah pun menyatakan rasa terkilannya atas tindakan Raja Anggun Cik Tunggal tadi. Baginda merajuk dan berasa seperti dirinya telah dilupakan Raja Anggun Cik Tunggal. Berlakulah pujuk-memujuk yang akhirnya melembutkan hati Tuan Puteri. Tuan Puteri kemudiannya meminta kebenaran untuk belayar pulang.  Setelah tiga hari tiga malam, kapal Seludang  Mayang berlabuh di pelabuhan negeri Tiku Benua lalu disambut dengan bedilan meriam. Sesampai di istana, Tuan Puteri menyembah salam dan menyampaikan perkhabaran kepada ayahandanya,Raja Laksamana tentang pertemuannya dengan Raja Anggun Cik Tunggal.






Tema :
           
Sikap terburu-buru dan tidak usul periksa yang membawa salah faham. Dalam hal ini, Raja Anggun Cik Tunggal berperang dengan tunangnya, Tuan Puteri Gondan Ganariah kerana tidak tahu kapal lancing kuning itu milik tunangnya.


Persoalan : 

 =
1.    Persoalan perasaan kasih sayang sesama manusia.
Tuan Puteri yang sanggup belayar untuk bertemu dengan tunangannya, Raja Anggun Cik Tunggal.

2.    Persoalan keberanian menegakkan keadilan.
Tuan Puteri yang membalas serangan Raja Anggun Cik Tunggal.

3.    Persoalan keperluan memujuk setelah melakukan kesilapan dalam sesuatu tindakan.
Raja Anggun Cik Tunggal memujuk Tuan Puteri Gondan Ganariah setelah menyedari kesilapannya yang menyerang lancang kuning milik tunangannya.



Watak dan Perwatakan : 


Watak Utama

Raja Anggun Cik Tunggal 
  • Terburu-buru dalam tindakan kerana menyerang kapal Nakhoda Ragam tanpa soal siasat yang mendalam. 
  • Pandai memujuk orang lain. Baginda memujuk tunangnya,Tuan Puteri Gondan Gandariah yang jauh hati akibat insiden membedil yang hampir meragut nyawa. 
  •  Begitu sayang akan Tuan Puteri Gondan Ganariah. 
  • Tunangan kepada Tuan Puteri Gondan Ganariah.


Watak Sampingan

Tuan Puteri Gondan Gandariah 
  • Nakhoda lancang kuning yang dibedil.   
  • Menggunakan beberapa nama lain seperti Tuan Puteri Nakhoda Ragam. 
  • Berani kerana sanggup bertembak-tembakan dengan Raja Anggun Cik Tunggal dan hampir terkorban. 
  • Puteri kepada Raja Laksamana. 
  • Baginda merupakan tunangan kepada Raja Anggun Cik Tunggal. 
  • Bijak menggunakan senjata walaupun seorang wanita, buktinya dia melepaskan tembakan yang hampir mengenai Raja Anggun Cik Tunggal. 
  • Seorang yang mudah jauh hati atau merajuk. 
  • Bersifat lembut hati dan mudah dipujuk walaupun telah melalui insiden yang berbahaya.

Raja Laksamana  
  • Ayahanda kepada Tuan Puteri Gondan Gandariah. 
  •  Pemerintah negeri Tiku  Benua.

Si Kembang Cina  
  •  Orang suruhan dalam kapal Seludang Mayang milik Tuan Puteri Gondan Gandariah. 
  • Yakin, buktinya menjawab tujuan lancing kuning milik nakhodanya dengan berani kepada Bujang Selamat.


Latar : 

Latar  Tempat

Ø Di atas kapal Dendang Panjang.
Di sini Raja Anggun Cik Tunggal bergurau dengan Tuan Puteri Intan Dikarang.  Di sini juga berlaku peristiwa tembak menembak yang membuta tuli dan hampir-hampir meragut nyawa Raja Anggun Cik Tunggal dan Tuan Puteri Gondan Gandariah.

Ø  Di atas kapal Seludang Mayang.
Kapal ini milik Tuan Puteri Gondan Gandariah. Di sini berlakunya peristiwa tembak menembak yang hampir mengorbankan Tuan Puteri Gondan Gandariah.

Ø  Di pelabuhan.
Di situlah kapal Dendang Panjang dan Seludang Mayang berlabuh secara bertentangan.

Ø  Negeri Tiku Benua.
Merupakan negeri asal Tuan Puteri Gondan Gandariah. Rajanya bernama Raja Laksamana. Lancang kuning Seludang Mayang belayar menuju ke negeri ini selepas Tuan Puteri Gondan Gandariah berjaya dipujuk oleh  Raja Anggun Cik Tunggal.

Ø  Negeri Bandan.
Negeri ini merupakan tempat yang ingin ditujui oleh kapal Seludang Mayang milik Tuan Puteri Gondan Gandariah. 


Latar Masa

Ø  Tiga hari tiga malam.
Tempoh masa ini diambil oleh Seludang Mayang untuk belayar balik ke negeri Tiku Benua.


Latar Masyarakat

Ø  Latar masyarakatnya mementingkan budi bahasa.
Sebagai contoh, Bujang Selamat bertanyakan pemilik lancang kuning mengapa berlabuh secara bertentangan dengan kapal Dendang Panjang.

Ø  Latar masyarakat yang memiliki keberanian.
Si Kembang Cina berani menjawab panggilan Bujang Selamat walaupun dia seorang wanita.

Ø  Latar masyarakatnya yang terlalu mudah dicabar.
Raja Anggun Cik Tunggal mudah tercabar apabila Si Kembang Cina sambil bercekak pinggang berani menjawab pertanyaan Bujang Selamat.

Ø  Latar masyarakatnya yang pandai memujuk.
Raja Anggun Cik Tunggal memujuk Tuan Puteri Gondan Gandariah yang jauh hati selepas kejadian tembak-menembak. Baginda berupaya meyakinkan Tuan Puteri Agar tidak meragukan kasih sayangnya.

Ø  Latar masyarakatnya yang kurang usul periksa.
Hal ini ditunjukkan oleh sikap Raja Anggun Cik Tunggal yang terus saja menyerang Seludang Mayang dengan tidak usul periksa apakah niat dan tujuannya berlabuh di hadapan Dendang Panjang miliknya.

Ø  Latar masyarakat yang tidak mahu beralah.
Hal ini berlaku kepada Raja Anggun Cik Tunggal yang langsung tidak mahu beralah dalam peristiwa tembak-menembak walaupun dengan tunangannya sendiri.



Gaya Bahasa :

1.    Bahasa istana
Patik, murka, peraduannya, beta

2.    Simile
Bagai ikan di luar belat

3.    Peribahasa
Rendah diri
4.    Bahasa Arab
Allah, Insya-Allah

5.    Kata ganda
Panji-panji, berbalas-balas

6.    Inversi
Gembiranya hati Tuan Puteri



Nilai : 

1.  Nilai kasih sayang
Sebagai contoh Raja Anggun Cik Tunggal memujuk Tuan Puteri Gondan Gandariah kerana baginda sayangkan tunangnya itu walaupun berlaku salah faham dan tembak-menembak sebelum itu.

2.  Nilai kepatuhan
Bujang Selamat patuh pada arahan Raja Anggun Cik Tunggal supaya memeriksa kapal yang berlabuh di hadapan kapal mereka.

3.  Nilai berani
Hal ini ditunjukkan oleh Si Kembang Cina yang sambil bercekak pinggang membalas pertanyaan Bujang Selamat yang dianggapnya mencabar.

4.  NIlai ketabahan
Contoh, Tuan Puteri Gondan Gandariah tetap tabah berhadapan dengan Raja Anggun Cik Tunggal walaupun nyaris terkorban.




 Pengajaran :

1.    Kita hendaklah memeriksa sesuatu perkara dengan teliti sebelum mengambil tindakan.

2.    Kita hendaklah banyak bersabar.

3.    Kita mestilah patuh kepada perintah ketua.

4.    Kita perlulah meningkatkan budi bahasa dalam komunikasi supaya tidak menimbulkan salah faham.

5.    Kita hendaklah menyedari kesilapan dengan memohon maaf. 

Latihan :


1.  Huraikan tema prosa ‘Hikayat Anggun Cik Tunggal’ ini.
2.   Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu menyiasat sesuatu perkara dengan teliti sebelum membuat keputusan?

11 July 2013

Kesalahan Umum Tatabahasa

Link :

Site 1

Site 2

Site 3 - 80 Umum kesalahan tatabahasa

Drama - Di Sini Bakti Bersemadi

DRAMA "DI SINI BAKTI BERSEMADI" KOMSAS TINGKATAN 2 (RURAL BASED ENTREPRENEURSHIP)

Pengenalan

Ajes Tuah berjaya menghasilkan skrip drama yang mendedahkan peluang keusahawanan desa yang jarang-jarang menarik perhatian generasi muda sebagai mata pencarian hidup yang lumayan. Dengan susunan cerita dan kata bual yang mudah difahami, hanya lima orang watak dimasukkan iaitu Tini, Amin, Kamal, Malek dan Ayah (Tini). Tema drama berkisar pada kegigihan seorang wanita muda berkelulusan tinggi bekerja sendiri di desa.

Watak dan Perwatakan

Tini
-  nekad / berdikari: walaupun memiliki diploma, tidak mahu melamar kerja makan gaji di bandar
-  tetap pendirian:  walaupun mendapat bantahan ayah dan tunang (Kamal), masih mahu meneruskan hasrat
-  penyayang:  menghormati pendapat ayahnya, berbincang dengan lemah lembut
-  berterus terang / jujur:  mahu memberitahu Kamal tentang hal sebenar tentang rancangannya
-  merendah diri:  tidak kekok menjadikan Amin, pemuda kampung sebagai pendorong kejayaan
-  tegas:  tetap memutuskan pertunangan dengan Kamal setelah mengetahui pakatan Kamal dengan Malek membuat khianat terhadap Amin dan dirinya

Amin
-  gigih:  seorang penternak kambing yang berjaya walaupun awalnya menerima cemuhan orang kampung
-  budiman:  sanggup berkongsi pengalaman keusahawanan desa dengan Tini
-  berbudi bahasa:  tahu batasan berkomunikasi dengan Tini, tunang Kamal
-  ramah:  tidak kekok berbual dengan ayah Tini, bahkan berjaya membetulkan tanggapan orang tua itu tentang kerja kampung
-  tabah:  menghadapi perbuatan khianat dengan tenang, walaupun dicederakan tidak patah semangat

Kamal
- tidak jujur: seperti yang dikatakan oleh Tini: telunjuk lurus kelingking berkait, menghalang rancangan Tini dalam diam.
- hipokrit / pura-pura:  memuji Tini di hadapan ayah Tini, tetapi dalam masa yang sama berpakat dengan Malek melakukan khianat 
-  suka mengongkong / berfikiran sempit / penting diri:  tidak suka Tini bertindak tanpa restunya
-  kurang berfikir / bertindak melulu:  menyangka Tini akan memaafkannya

Malek
-  pak turut:  mengikut sahaja rancangan jahat Kamal tanpa memikirkan akibatnya
-  sukar menyimpan rahsia:  mengaku kesalahan setelah didesak oleh Amin / ayah Tini / polis. Juga memberitahu bahawa 
      dalang sebenar ialah Kamal

Ayah Tini
was-was:  tidak yakin akan kebolehan anak sendiri, mudah terpengaruh dengan cakap Kamal
cepat insaf:  setelah melihat kejayaan Tini / keikhlasan Amin, pendirian berubah positif
bijak:  cekap dalam membaca tindak-tanduk Malek yang baru keluar lokap, tetapi nampak senang hati

Sinopsis

Tini yang baharu tamat pengajian peringkat diploma mengunjungi tempat ternakan ayam milik Amin. Mereka bertukar-tukar fikiran, sambil Amin mengingatkan risiko berdikari di kampung. Pada awalnya ayah Tini membantah kerana tidak setimpal dan memalukan keluarga. Kamal yang hanya mementingkan perkahwinan mereka juga demikian. Tini meneruskan niat membuka kilang kraf tangan yang membuka peluang pekerjaan kepada belia kampung. Kamal lalu mencadangkan tarikh perkahwinan dipercepat, tetapi Tini menolak dengan baik. Sementara itu, Amin berjaya menangkap Malek yang mencuri ayamnya, tetapi dijamin oleh Kamal. Malek mencederakan Amin dan juga merosakkan mesin di kilang Tini atas arahan Kamal. Ayah Tini berjaya memerangkap Malek dengan soalan-soalan provokasi, lalu dibawa semula ke balai polis. Di tempat kerja Kamal, Tini mencemuh Kamal yang cemburu buta, lalu memutuskan pertunangan mereka. Amin beransur pulih dan di rumahnya dia melafazkan kata bual yang dijadikan tajuk cerpen, "Ya, di situ bakti bersemadi!"

Perbincangan komsas

Nilai
Kecekalan / kegigihan / kerajinan
Kejujuran / keikhlasan / ketulusan
Ketegasan
Keyakinan
Kebijaksanaan

Persoalan

Kecekalan / kegigihan / kerajinan dalam melakukan kerja
Kejujuran / keikhlasan / ketulusan dalam komunikasi / persahabatan
Ketegasan dalam mempertahankan pendirian / membuat keputusan
Keyakinan terhadap kebolehan diri
Kebijaksanaan dalam mendapatkan maklumat / menangani bantahan 

Pengajaran
Kita hendaklah cekal / gigih / rajin dalam melakukan kerja
Kita hendaklah jujur / ikhlas / tulus dalam komunikasi / persahabatan
Kita hendaklah tegas dalam mempertahankan pendirian / membuat keputusan
Kita hendaklah yakin terhadap kebolehan diri
Kita hendaklah bijak dalam mendapatkan maklumat / menangani bantahan

sumber : http://cikguazharrodzi.blogspot.com/2011/06/drama-di-sini-bakti-bersemadi-komsas.html