11 July 2013

Cerpen - Maaf Kupinta

CERPEN: MAAF KUPINTA

( Rejab FI )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )

Sinopsis:

Fauzi seorang anak yang kematian ayah tinggal bersama-sama dengan ibu dan ayah tirinya. Ayah tirinya sangat menngongkong kehidupannya. Ayah tirinya tidak membenarkan Fauzi menonton televisyen terutama acara hiburan dan filem-filem. Ayahnya hanya membenarkan Fauzi menonton televisyen untuk rancangan berita ataupun hal ehwal semasa. Bapa tirinya juga mengongkong perjalanan hidupnya. Ayah tirinya juga tidak mengizinkan Fauzi pulang ke rumah terlalu lewat malam dan sering mengambil tahu dengan siapa Fauzi berkawan.
Satu peristiwa telah menimpa hidup Fauzi. Kepala Fauzi berbenjol kerana terjatuh dan terhantuk pada tiang. Fauzi lari menaiki basikal ke rumah neneknya. Dia benci dan marah kepada ayah tirinya. Setelah lama tinggal di rumah neneknya, ayah dan ibunya berbincang untuk menghantar Fauzi ke asrama. Cikgu Zainuddin, Kaunselor sekolah telah membantu bagi membolehkan Fauzi tinggal di asrama.
Semasa di asrama Fauzi sering dilawati oleh ibu dan bapa tirinya. Ibunya sering membawa buah tangan semasa melawat Fauzi. Manakala ayah tirinya memberi wang saku untuk kegunaan di asrama. Semasa di asrama Fauzi telah sedar daripada kesilapannya dan berubah sikap. Hal ini demikian kerana dia sentiasa dinasihati oleh rakan karibnya Syahir dan juga ustaznya.
Pada hari terakhir persekolahan sebelum cuti hujung tahun, Fauzi tidak sabar untuk pulang ke kampung menemui keluarganya. Selepas makan malam di kampung, Fauzi mengambil kesempatan memohon kemaafan daripada ayah tirinya atas segala kesalahan dan salah faham terhadap ayah tirinya. Ibunya berasa bangga dengan perubahan sikap Fauzi. Fauzi mula menolong ayah tirinya di sawah dan di laut. Dia juga turut menunjuk ajar adiknya dalan pelajaran.
Tema:

Menghargai pengorbanan orang lain demi kecemerlangan masa depan. Fauzi akhirnya menghargai apa yang dibuat oleh ayah tirinya untuk kejayaannya walaupun pada mulanya dia memberontak.

Persoalan:
  1. Persoalan persahabatan: Contohnya, Syahir dan Fauzi amat akrab bersahabat ketika di Asrama A. Mereka sering pulang ke kampung bersama-sama.

  2. Persoalan kasih sayang ayah tiri terhadap anak: Contohnya, Ayah tiri Fauzi amat menyayangi Fauzi dan sanggup melawat Fauzi di asrama. Dia juga bersikap tegas dalam mendidik Fauzi.

  3. Persoalan ketegasan semasa mendidik: Contohnya, Ayah tiri Fauzi melarang Fauzi menonton cerita-cerita yang tidak berfaedah. Dia juga melarang Fauzi keluar malam dan mengambil tahu dengan siapa anaknya berkawan.

Plot:
Permulaan
Pengarang memulakan cerita di sebuah asrama dengan watak utamanya Fauzi tidak sabar untuk pulang ke kampung menemui adik-adik, ibu dan bapa tirinya. Fauzi tidak dapat melelapkan matanya kerana ingin mengisi cuti sekolah dengan rancangan yang telah diaturnya. Syahir kawan Fauzi menegur Fauzi kerana masih belum tidur walaupun hari telah lewat malam. Rakan-rakannya di Asrama A telah berdengkor. Dia teringat punca dia tinggal di asrama sekolah. Bukan kerana pencapaiannya dan kemiskinannya tetapi ada sebab lain mengapa dia tinggal di asrama.
Perkembangan
Fauzi teringat punca mengapa dia tinggal di Asrama A. Dia terdengar ayah tirinya berbual dengan ibunya untuk menghantarnya ke asrama. Ayah tirinya amat tegas dalam mendidik Fauzi. Fauzi tidak dibenarkan balik lewat malam dan juga tidak dibenarkan menonton rancangan yang tidak berfaedah. Saban hari ayah tirinya akan bertanya kerja rumah yang diberikan oleh guru kepada Fauzi sebaik sahaja pulang dari sawah. Suatu ketika Fauzi terjatuh dan kepalanya benjol menyebabkan dia lari ke rumah neneknya yang berada empat kilometer dari rumahnya. Ibunya juga menegur bapa tirinya kerana kasar dalam mendidik Fauzi.
Klimaks
Selepas makan malam, Fauzi memohon maaf daripada ayah tirinya akan sikapnya selama ini. Fauzi sedar akan tujuan ayah tirinya bersikap tegas kepadanya selama ini. Ayah tirinya cuba menyelamatkan Fauzi daripada terlanggar tiang dan kepalanya terhantuk menyebabkan kepalanya benjol. Malam itu Fauzi gembira kerana hajatnya untuk meluahkan perasaannya kepada keluarganya tercapai.
Peleraian
Fauzi memenuhi cuti sekolahnya dengan membantu keluarganya di sawah. Dia juga akan turun ke laut mengikut ayah tirinya. Di samping itu, Fauzi menolong adik-adiknya dalam pelajaran. Kini Fauzi mempunyai semangat untuk memajukan keluarganya.
Teknik Penceritaan
  1. Monolog dalaman: Contohnya, "Benar kata-kata Syahir itu?" Fauzi berkata-kata sendirian.
  2. Dialog: Contoh, "Emak kamu tahukah kamu di sini?" Nenek Sapiah melepaskan keluhan kesal.
  3. Imbas kembali: Contohnya, Di asrama Fauzi terkenangkan kehidupannya di kampung.
  4. Imbas muka: Contohnya, Fauzi membayangkan perkara yang akan dilakukannya apabila pulang bercuti.
  5. Pemerian: Contohnya, Cahaya bulan tertumpah ke permukaan sawah. Daun padi kelihatan terliuk-liuk dibelai mesra oleh angin malam. Indah sungguh pemandangan malam itu.
Watak dan Perwatakan:
Fauzi
  • tinggal di Asrama A
  • mempunyai seorang ibu dan seorang ayah tiri
  • mempunyai seorang sahabat yang bernama Syahir
  • ayahnya meninggal dunia akibat penyakit barah
  • mempunyai seorang nenek bernama Sapiah
  • memendam rasa tidak puas hati terhadap ayah tirinya
  • pelajar yang aktif dalam kegiatan sukan
  • pintar dalam pelajaran
  • terharu apabila bersalaman dengan ayah tirinya semasa di asrama
Ayah Tiri
  • ayah tiri Fauzi dan sangat menyayanginya
  • memberi wang saku kepada Fauzi ketika melawat Fauzi di asrama
  • baik kepada anak tirinya
  • tegas dalam mendidik anak
  • sering memberikan wang saku kepada Fauzi
Ibu
  • suka mengawal pergerakan anaknya
  • kadang-kadang tidak bersetuju cara ayah tiri mendidik Fauzi
  • selalu membawa buah tangan seperti kuih semasa melawat Fauzi di asrama.
Latar:
Masa
  1. Waktu malam. Contohnya, ketika di Asrama A Fauzi dan Syahir berbual sebelum tidur.
  2. Waktu pagi. Contohnya, Fauzi bangun dan bersiap-siap untuk balik ke kampung.
  3. Cuti sekolah akhir tahun. Contohnya, Fauzi pulang ke kampung untuk menghabiskan cuti.
  4. Lima minggu. Contohnya, jarak masa Fauzi bercuti akhir tahun.
Tempat
  1. Rumah. Contohnya, Fauzi menonton televisyen.
  2. Asrama A. Contohnya, Fauzi tinggal di Asrama A.
  3. Rumah Nenek Sapiah. Contohnya, Fauzi lari ke rumah neneknya ketika menghadapi masalah dengan keluarganya.
  4. Stesen bas. Contohnya, Fauzi dan Syahir menunggu bas untuk pulang ke kampung.
  5. Sekolah. Contohnya, Ayah tiri dan ibunya datang ke asrama untuk melawat Fauzi.
Masyarakat
  1. Masyarakat pelajar. Contohnya Fauzi dan Syahir merupakan pelajar sebuah sekolah menengah dan tinggal di Asrama A.
  2. Masyarakat petani. Contohnya, Ayah tiri Fauzi merupakan seorang petani yang mengerjakan sawah.
  3. Masyarakat pendidik. Contohnya, Cikgu Zainuddin merupakan seorang guru kaunseling yang menguruskan kemasukan Fauzi ke asrama.
  4. Masyarakat yang bersifat prihatin. Contohnya, Ayah tiri Fauzi sangat prihatin terhadap pelajaran Fauzi dan selalu bertanya dengan siapa dia berkawan.
  5. Masyarakat yang mementingkan pelajaran. Contohnya, Ayah tiri Fauzi selalu bertanya tentang kerja sekolah yang diberikan oleh guru kepada Fauzi.
Gaya Bahasa
  1. Kata ganda. Contohnya, berbalam-balam. buku-buku, kegiatan-kegiatan, kawan-kawan, kerja-kerja.
  2. Sinkope. Contohnya, Ayahku tidak seperti ayahmu.
  3. Hiperbola. Contohnya, Daun padi kelihatan terliuk-liuk dibelai mesra oleh angin malam.
  4. Peribahasa. Contohnya, Buah tangan.
Nilai
  • Nilai berdikari. Contohnya, Fauzi berdikari sendirian ketika tinggal di asrama A.
  • Nilai kerajinan. Contohnya, Ayah tiri Fauzi rajin ke sawah dan ke laut untuk mencari rezeki untuk keluarganya. Ayahnya juga rajin melawat Fauzi di asrama.
  • Nilai kasih sayang. Contohnya, Ayah tirinya sangat sayang kepada Fauzi dan sanggup menghulurkan wang saku setiap kali melawat Fauzi.
  • Nilai kesyukuran. Contohnya, Fauzi bersyukur kerana dia sedar daripada kesilapannya yang bersikap buruk sangka terhadap ayah tirinya.
  • Nilai hormat-menghormati. Contohnya, Fauzi sangat menghormati ayah tirinya.
Pengajaran
  • Kita hendaklah taat kepada kedua-dua orang tua kita. Contohnya, Fauzi taat kepada ayah tirinya walaupun ayah tirinya bersikap tegas terhadapnya.
  • Kita perlu berbincang dalam membuat satu keputusan penting. Contohnya, Ayah tiri dan ibu Fauzi telah berbincang sebelum menghantar Fauzi ke asrama.
  • Kita hendaklah mengasihi ibu dan ayah kita. Contohnya Fauzi sangat menyayangi ibu dan ayahnya.
  • Kita hendaklah menolong orang ketika berada dalam kesusahan. Contohnya, Cikgu Zainuddin menolong Fauzi untuk mendapat tempat tinggal di asrama.
  • Kita hendaklah meminta maaf apabila elakukan kesalahan. Contohnya, Fauzi memohon maaf daripada ayah tirinya atas kesalahannya

No comments:

Post a Comment