ANAK PENGGUNTING RAMBUT
( NOR HIDAYAH ASARI)
SINOPSIS
Cerpen
“Anak Penggunting Rambut” mengisahkan seorang ayah yang mempunyai
seorang anak perempuan yang bernama Manisah. Manisah merupakan seorang
anak yang berambut pendek seperti kanak-kanak lelaki dan mempunyai nama
panggilan, Manis. Wajahnya comel dan suka tersenyum walaupun sedang
sakit. Ayah berasa Manis lebih baik berambut pendek kerana dia selalu
pening dan pitam.
Manis bangga mempunyai ayah yang bekerja sebagai tukang gunting rambut
walaupun ayah sudah berusia enam puluh lima tahun. Kerana kebanggaan
itu, rambut Manis akan digunting oleh ayah sehingga mencecah usia
remaja. Ayah Manis terkenal dengan panggilan Mat Gunting di Kampung Batu
25, Bagan Datoh. Apabila ayah diterima menjadi peneroka FELDA, beliau
mengambil upah menggunting rambut setelah pulang dari ladang.
Ketika Manis berada di tadika, kawan-kawannya sering mentertawakan
pekerjaan ayahnya sebagai penggunting rambut. Namun demikian, ayah akan
menceritakan kesusahannya mencari rezeki di kampung dengan melakukan
banyak pekerjaan termasuk menggunting rambut meskipun pendapatannya
tidak seberapa. Ayah juga menceritakan rezeki sebagai penggunting rambut
sudah sebati dengan hidupnya sejak kali pertama belajar menggunting
rambut.
Manis sangat suka berambut pendek. Bagi Manis, rambut pendek telah
membawa kemenangan yang bermakna dalam hidupnya ketika berada di tadika.
Sejak itu, Manis selesa dengan berambut pendek dan ayah terpaksa
menuruti kemahuannya. Kebanyakan orang berpendapat bahawa ayah telah
membentuk peribadi Manis berperwatakan lelaki disebabkan rambutnya yang
pendek. Namun begitu, ayah menyenanginya apatah lagi Manis menghargai
titik peluh ayah sebagai tukang gunting. Selepas kematian isterinya,
ayah sibuk mengambil alih tugas di dapur dan menjaga anak-anaknya hingga
terlupa menggunting rambut Manis.
Ayah akan mengenakan upah menggunting rambut sebanyak lima puluh sen
untuk kanak-kanak dan seringgit untuk orang dewasa. Wang upah tersebut
dikelakkan dalam bekas kelengkapan gunting rambut dan disangkut pada
dinding. Ayah tahu Manis selalu mengambil antara dua puluh sen atau tiga
puluh sen wang upah tersebut tetapi tidak memarahinya apabila
mengetahui wang tersebut digunakan untuk membeli keropok lekor di
kantin. Setelah menyedari wang belanja sekolah Manis tidak mencukupi,
ayah telah menambahnya dengan syarat Manis tidak boleh lagi mengambil
wang upah gunting tanpa kebenarannya.
Manis akan menunggu ayah pulang dari ladang sambil mengaturkan masa
pelanggan yang datang. Apabila ayah pulang dari ladang, biasanya
terdapat dua atau tiga orang pelanggan yang menanti kepulangannya. Manis
akan membantu tugas-tugas lain seperti menyapu dan mengumpulkan rambut
serta menyediakan cangkul untuk menggali lubang bagi menanam
rambut-rambut yang digunting.
Di alam sekolah menengah, Manis masih berambut pendek walaupun
dicemburui oleh ramai pelajar senior. Pada waktu cuti hujung bulan,
Manis akan meminta ayahnya menggunting rambutnya mengikut gaya yang
baru. Akhirnya, imej Manis berambut pendek telah menjadi ikutan
rakan-rakannya tetapi tidak disenangi oleh warden asramanya.
Apabila meningkat dewasa, Manis menyambung pelajarannya di Kuala
Lumpur. Sepanjang pengajiannya di universiti, Manis jarang-jarang pulang
ke kampung. Manis cuma menelefon ayahnya dengan memberikan pelbagai
alasan untuk tidak pulang ke kampung.
Pada suatu hari, ayah mendapat panggilan telefon kecemasan daripada
kawan Manis yang menyatakan Manis sakit dan berada di hospital. Manis
disahkan menghidap leukemia sama seperti penyakit ibunya. Hati ayah
menjadi sebak apabila mengusap helaian dan gumpalan rambut Manis yang
gugur daripada kulit kepalanya. Kepala Manis kini sudah separuh botak.
Doktor memberikan harapan tipis untuk Manis hidup dalam tempoh beberapa
bulan sahaja. Namun begitu, Allah lebih sayangkan Manis. Dia
menghembuskan nafas terakhirnya di atas ribaan ayah. Pada akhir kalimat
yang diucapkan oleh Manis kepada, ayahnya, masih terngiang-ngiang di
telinga ayahnya betapa sehelai rambut Manis amat bermakna dan Manis
tidak mampu menyimpannya lagi.
TEMA
Kasih
sayang ayah terhadap anaknya. Ayah yang bekerja sebagai tukang gunting
menyayangi anaknya, Manis dengan memenuhi kehendak anaknya untuk
bergunting rambut hingga ke akhir hayat anaknya.
PERSOALAN
1. Persoalan berdikari untuk meneruskan kehidupan.
Contoh: Ayah meneruskan kehidupan menjaga Manisah setelah kematian isterinya.
2. Persoalan prihatin dengan masalah.anak.
Contoh: Ayah menambah wang saku anaknya setelah wang saku yang diberi tidak mencukupi untuk perbelanjaan harian di sekolah.
3. Persoalan menerima takdir Tuhan dengan tabah dan tenang.
Contoh: Ayah dan anak-anaknya redha menerima kematian Manisah akibat penyakit Leukemia.
4. Persoalan mementingkan ilmu pengetahuan sebagai penyuluh hidup.
Contoh: Manisah sanggup meninggalkan keluarga di kampung untuk menyambung pelajaran di bandar.
PLOT
Permulaan
Pengarang
memulakan cerita dengan memperkenalkan watak ayah sebagai tukang
gunting yang dikagumi oleh anak perempuannya, Manis. Pekerjaan ayah
sebagai tukang gunting bermula dengan kerja sampingan tetapi akhirnya
menjadi tersohor di Bagan Datoh. Manis pula menjadi pelanggan ayahnya
dengan gaya guntingan rambut pendek.
Perkembangan
Manis
berbangga dengan kerjaya ayahnya, sebagai tukang gunting walaupun
diketawakan oleh kawan-kawannya. Kesetiaan Manis menemani ayahnya waktu
bergunting rambut telah dikagumi oleh ayahnya. Manis mempunyai prinsip
untuk mempertahankan rambut pendeknya walaupun sudah bersekolah
menengah dan ditegur oleh warden asramanya. Setelah melanjutkan
pelajarannya di peringkat universiti, Manis tidak pulang ke kampungnya
dan hanya sekadar menelefon ayahnya sahaja.
Klimaks
Manis
disahkan menghidap penyakit leukemia oleh doktor. Dia hanya boleh hidup
selama beberapa bulan sahaja. Ayah tersentuh hatinya apabila menerima
perkhabaran itu
Peleraian
Penyakit
leukemia Manis bertambah parah. Manis akhirnya meninggal dunia. Ayah
menerima suratan takdir Allah dengan mengenang kembali makna sehelai
rambut Manis yang gugur akibat penyakit leukemia.
Teknik Penceritaan
Cerita disusun mengikut kronologi urutan masa.
1. Dialog
Contoh: “Mengapa abah teruskan juga menjadi pengunting rambut bila dah sampai ke sini?”
2. Imbas kembali
Contoh: Aku masih ingat kali pertama dia ke tadika. Dia menangis.
3. Monolog Dalaman
Contoh:
Kau tak rindukan pisau cukur yang pernah tergores di leher jinjangmu.
Manis sudah lapan bulan abah tidak menggunting rambutmu.
WATAK DAN PERWATAKAN
1) Ayah
Ø Sudah berusia lewat 60-an.
Ø Seorang bapa tunggal.
Ø Rajin bekerja untuk menyara keluarganya.
Ø Tabah menjalankan tugasnya sebagai tukang gunting.
Ø Memiliki bakat dan kepandaian menggunting rambut.
Ø Hidup menduda setelah kematian isteri.
2) Manisah (Manis)
Ø Memiliki raut wajah yang comel.
Ø Berpendirian tegas dan sanggup menghadapi risiko.
Ø Berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam bidang pelajaran.
Ø Rajin membantu orang lain.
Ø Gemar berambut pendek.
LATAR
1) Masa
Ø Petang – Ayah menanam rambut Manis di dalam satu lubang kecil selepas kematian Manis.
Ø Subuh – waktu Manis meninggal dunia kerana penyakit leukemia.
Ø Waktu siang – waktu ayah bekerja di ladang, di kedai gunting rambut, dan Manis pergi ke sekolah.
2) Tempat
Ø Kampung Batu 25, Bagan Datoh – kampung asal ayah sebelum berpindah ke tanah rancangan FELDA.
Ø Tanah rancangan FELDA – tempat ayah merantau untuk mencari penghidupan yang lebih baik.
Ø Tadika – Manis dan kumpulannya mengambil bahagian dalam acara membawa bakul kacang di atas kepala dan memenangi acara tersebut.
Ø Asrama – Manis tinggal di asrama semasa bersekolah menengah.
Ø Hospital – tempat Manis dirawat kerana penyakit leukemia.
3) Masyarakat
Ø Masyarakat yang mementingkan sikap berdikari untuk kelangsungan hidup.
Contoh: Ayah yang berdikari mendidik anak-anaknya setelah kematian isterinya.
Ø Masyarakat peneroka FELDA yang dapat mengusahakan kerja sampingan.
Contoh: Ayah menjadi peneroka dan meninggalkan kampung halamannya.
Ø Masyarakat yang berani mempertahankan risiko.
Contoh: Ayah mempertahankan tindakannya memotong rambut Manisah hingga
pendek walaupun dikritik orang kampung.
Ø Masyarakat yang menerima takdir Tuhan dengan tabah
Contoh: Ayah dan abang menerima takdir kematian Manisah dengan redha.
GAYA BAHASA
1. Sinkope
Contoh: Kau degil tetapi cepat menangis.
2. Kata Ganda
Contoh: Sampah-sarap, rakan-rakan, awal-awal,
3. Simile
Contoh: Seperti Busut Hitam
4. Personifikasi
Contoh: Jari-jemari abah ini seperti menari-nari sendiri
NILAI
1. Nilai keberanian.
Contoh: Manisah berani berambut pendek walaupun telah dipanggil dan ditegur oleh guru.
2. Nilai berdikari
Contoh: Ayah berdikari dalam mendidik anak-anak selepas kematian isterinya.
3. Nilai semangat bermasyarakat
Contoh: Ayah sanggup meneruskan kerja menggunting rambut kepada peneroka dan anak peneroka walaupun bayarannya rendah.
4. Nilai kasih sayang
Contoh: Ayah sangat menyayangi Manisah sejak dari kecil hingga dewasa.
5. Nilai kerajinan
Contoh:
Ayah rajin bekerja di ladang dan juga sebagai tukang gunting rambut
pada sebelah petangnya. Manisah juga rajin menolong ayahnya membersihkan
tempat menggunting rambut.
PENGAJARAN
1. Kita hendaklah menerima ketentuan Allah
Ayah menerima ketentuan Allah yang mengambil nyawa isterinya dan juga nyawa anaknya Manisah lebih awal.
2. Kita hendaklah mendidik anak dengan sempurna.
Ayah mendidik anak-anaknya dengan baik walaupun tanpa isteri yang telah meninggal dunia.
3. Kita hendaklah bersangka baik terhadap jiran.
Orang kampung memahami mengapa ayah memotong rambut Manisah hingga pendek.
4. Kita hendaklah rajin belajar walaupun berjauhan dengan keluarga.
Manisah rajin belajar sehingga masuk universiti walaupun berjauhan dengan keluarganya.
LATIHAN
1. Apakah pengajaran yang terdapat dalam petikan di bawah?
“
Bagaimanapun ajal dan maut kuasa Allah. Allah lebih sayangkan Manis.
Subuh itu Manis menghembuskan nafasnya yang terakhir di ribaanku.”
2. Nyatakan gaya bahasa yang terdapat dalam petikan di bawah?
“Abah hanya mahu merindumu, Manis.”
3. Nyatakan 3 perwatakan abah dalam petikan di atas?
“Abah
saya tukang gunting rambut. Masa muda, orang kampung panggil abah Mat
Gunting. Abah saya cukup terkenal di kampung Batu 25, Bagan Datoh.”
sumber : http://cikgumiji.blogspot.com/p/beritaisu-semasa.html
No comments:
Post a Comment