21 January 2014

Pantun Empat Kerat Agama

Analisis Teks

Pantun
Maksud
Kemuning daunnya lampai,
Tumbuh di pusara paduka tuan,
Di atas dunia kau tak sampai,
Di dalam syurga bernantian.
Sekiranya kita tidak mengerjakan suruhan Tuhan di dunia, di akhirat nanti kita tidak akan mendapat ganjarannya.
Halia ini tanam-tanaman,
Di barat saja akan tumbuhnya,
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.
Dunia bukanlah tempat yang kekal bagi semua makhluk, akhirat jualah tempat yang abadi.
Teritip di tepi kota,
Mari dikayuh sampan pengail,
Imam khatib lagikan berdosa,
Bertambah pula kita yang jahil.
Orang alim juga tidak lepas dari berbuat dosa, apatah lagi kita orang biasa. Sudah tentu banyak berbuat dosa.
Asam kandis asam gelugur,
Ketiga asam si riang-riang,
Menangis mayat di pintu kubur.
Teringat badan tidak sembahyang.
Kita akan menyesal pada kemudian hari jika tidak mengerjakan ibadah sembahyang.
Buat serunai batang padi,
Bunyi lagu seri pualam,
Serban bukan semuanya haji,
Haji terletak pada amalan.
Pakaian tidak melambangkan darjah kealiman seseorang tetapi melalui amalannya.
Tiada boleh menetak jati,
Papan di Jawa dibelah-belah,
Tiada boleh kehendak hati,
Kita di bawah perintah Allah.
                      
Kita hendaklah sentiasa mengikuti ajaran atau perintah Allah bukanlah mengikut kehendak hati sendiri.
Dunia adalah ladang Akhirat

Tema:Amalan agama menjamin kehidupan di kemudian hari.
Persoalan:
  • Taat akan hukum agama akan menjamin kehidupan bahagia di akhirat nanti.
  • Kejahilan manusia yang tidak tahu akan hukum-hakam agama.
  • Penampilan fizikal tidak melambangkan keperibadian dan tahap keimanan seseorang.
Bentuk:
  • Pantun ini terdiri daripada terdiri daripada enam rangkap.
  • Pantun ini berbentuk pantun empat kerat, iaitu dua baris awalan pembayang dan dua baris akhir maksud pantun.
  • Setiap rangkap mengandungi empat baris.
  • Jumlah baris terdiri antara tiga hingga empat patah perkataan.
  • Rima akhirnya tetap iaitu ’a,b,a,b’.
Gaya Bahasa
Contoh
Repitasi
Asam kandis asam gelugur, (R4,B1)
Sinkope
Di atas dunia kau tak sampai, (R1,B3)
Di barat saja akan tumbuhnya, (R2,B2)
Hiperbola
Menangis mayat di pintu kubur. (R4,B3)
Kata Ganda
Halia ini tanam-tanaman, (R2,B1)
Dunia ini pinjam-pinjaman, (R2,B3)
Ketiga asam si riang-riang, (R4,B2)
Papan di Jawa dibelah-belah, (R6,B2)
Unsur Bunyi
Contoh
Asonansi
Teritip di tepi kota, (R3,B1)
Aliterasi
Kemuning daunnya lampai, (R1,B1)
Indahnya hidup bersyariat

Nilai:
·         Keinsafan: Terdapat pada rangkap kedua (Baris 3 dan 4)
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya
·         Kesederhanaan: Terdapat pada rangkap kelima (Baris 3 dan 4)
Serban bukan semuanya haji,
Haji terletak pada amalan.
Pengajaran:
  • Kita janganlah terlalu menurut kata hati.
  • Kita janganlah menilai seseorang itu dari luaran sahaja.
  • Kita perlulah beringat bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara sahaja.
  • Kita mestilah mengerjakan solat supaya tidak menyesal pada kemudian hari.
  • Kita haruslah memelihara amalan hidup di dunia.
sumber : http://tamanseribupuisi.blogspot.com/2012/05/pantun-empat-kerat-agama-mohd-yusof-md.html

2 comments: