CONTOH KARANGAN :
Sekolah anda telah mengadakan aktiviti Sepanjang Bulan Kemerdekaan bagi melahirkan semangat cinta akan tanah air kepada para pelajar. Sehubungan dengan itu, anda ditugaskan untuk menyediakan satu laporan lengkap tentang Sambutan Bulan Kemerdekaan yang telah dianjurkan untuk dimuatkan dalam ruangan majalah sekolah. Tulis laporan itu selengkapnya.
Laporan Bulan Kemerdekaan
Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, Perak
Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, Perak
Sepanjang bulan Ogos 2017, Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana, Sungkai, telah mengadakan Sambutan Bulan Kemerdekaan. Program tersebut diadakan bertujuan mencetus dan menanamkan semangat cinta akan tanah air dalam kalangan pelajar. Hal ini ditegaskan oleh Tuan Haji Nasri Abidin, Pengetua Kanan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, ketika merasmikan majlis yang bersejarah itu pada 10 Ogos 2017 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana, Sungkai. Tuan pengetua juga mengharapkan aktiviti yang dijalankan dapat meningkatkan jati diri, menanamkan rasa keinsafan dan perasaan bersyukur dalam kalangan pelajar. Mereka sewajarnya menghargai pengorbanan para pejuang tanah air yang berjuang dengan serba kekurangan, tanpa senjata moden, tanpa alat komunikasi canggih dan tanpa kekayaan harta benda. Mereka hanya memiliki tulang empat kerat untuk menggalas perjuangan bak kata pepatah tiada rotan, akar pun berguna.
Upacara perasmian, Sambutan Bulan Kemerdekaan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, dimulakan dengan menaikkan Jalur Gemilang. Apabila tirai pentas dibuka, kumpulan koir Bulan Kemerdekaan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, telah bersedia untuk menyanyikan lagu "Bahtera Merdeka" dan "Tanggal 31". Mereka menyanyi dengan penuh semangat. Setelah tamat persembahan koir, pementasan drama patriotik yang bertajuk "Peristiwa Bukit Kepong" nukilan Puan Hasliza Manap seorang guru Sejarah sekolah ini telah dipentaskan. Drama ini mengisahkan tentang serangan pengganas komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong, Muar yang terkenal dalam sejarah Malaysia. Persembahan drama yang bertemakan berpantang mati sebelum ajal begitu menyentuh jiwa dan perasaan guru-guru dan para pelajar.
Selain itu, pihak sekolah juga menjemput seorang tokoh akademik, iaitu Dr. Amira Azman untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk "Perjuangan Pemimpin Menuntut Kemerdekaan dan Implikasinya terhadap Negara". Kehadiran Dr. Amira Azman ibarat sirih pulang ke gagang kerana beliau merupakan bekas murid sekolah ini. Dalam ceramahnya, beliau mengupas senario perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan seperti Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Dato' Maharajalela dan sebagainya. Bagi Dr. Amira, pejuang-pejuang kemerdekaan tersebut umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Beliau menasihatkan para pelajar supaya berusaha gigih dalam pelajaran demi menjadi manusia yang berguna dan menguasai ilmu pengetahuan bagi mengisi kemerdekaan negara. Beliau juga menasihatkan para pelajar supaya tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit.
Pada 12 Ogos 2017, Pertandingan Deklamasi Sajak Patriotik telah mengisi atur cara sambutan. Pertandingan tersebut melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 5. Peserta yang mengambil bahagian ternyata amat bersemangat sewaktu mendeklamasikan sajak mereka. Bakat peserta yang mengambil bahagian tidak kurang hebatnya. Mereka telah menyampaikan sajak dengan pelbagai gaya dan kreativiti. Pelajar-pelajar yang tidak mengambil bahagian dalam pertandingan deklamasi sajak diminta menyiapkan biografi tentang tokoh-tokoh kemerdekaan. Mereka dimestikan mendapat maklumat tentang tokoh-tokoh tersebut dengan melayari Internet. Biografi yang telah dihasilkan oleh para pelajar akan dipertandingkan. Keputusan pertandingan akan diumumkan pada Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah.
Pihak sekolah juga pada 15 dan 16 Ogos 2017 telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat bersejarah di Muar, Johor. Antara tempat yang dilawati ialah Balai Polis Bukit Kepong, Makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Kampung Raja Pagoh dan Hutan Lipur Gunung Ledang. Lawatan ini bertujuan mendedahkan para pelajar untuk melihat kesan dan bukti sejarah yang terdapat di kawasan sendiri. Balai Polis Bukit Kepong merupakan sebuah balai polis yang pernah melalui detik hitam dalam sejarah negara, iaitu peristiwa pertempuran pasukan polis dengan pengganas komunis. Manakala Makam Sultan Alauddin Riayat Syah merupakan makam salah seorang sultan dalam Kesultanan Melayu Melaka. Gunung Ledang pula merupakan satu tempat yang mempunyai kaitan yang rapat dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka apabila Sultan Mahmud ingin memperisterikan Puteri Gunung Ledang pada suatu ketika dahulu.
Sebagai acara kemuncak, pada 30 Ogos 2017, telah diadakan Majlis Perarakan dan Mengibarkan Jalur Gemilang Peringkat Sekolah. Majlis yang dimulai pada pukul 8.00 pagi itu mendapat sambutan di luar dugaan daripada kalangan warga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Setiap individu yang terlibat diberi Jalur Gemilang bersaiz kecil untuk dikibarkan semasa perarakan. Para pelajar membawa sepanduk yang ditulis dengan kata-kata semangat seperti "Cintai dan Sayangi Malaysia", dan "Malaysia, Di sini Lahirnya Sebuah Cinta" mengikut kreativiti pelajar. Majlis perarakan sejauh 2.5 kilometer itu bermula dari dataran perhimpunan dan berakhir di tempat yang sama. Setelah tamat acara perarakan, program pada pagi tersebut diteruskan dengan ucapan penutupan program oleh Tuan Haji Nasri Abidin, Pengetua Kanan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai. Dalam ucapannya beliau menyatakan perasaan gembira dan amat berpuas hati dengan perjalanan Sambutan Bulan Kemerdekaan pada kali ini. Beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan majlis yang amat bermakna terutama kepada para pelajar. Selepas itu, Tuan Pengetua menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Deklamasi Sajak dan Pertandingan Menulis Biografi Tokoh Kemerdekaan. Majlis yang penuh warna-warni dan bersejarah itu melabuhkan tirainya tepat pukul 11.30 pagi dengan nyanyian lagu "Negaraku".
Laporan disediakan, 10 SEPTEMBER 2017
(NUR NAJWA MOHD ALI)
Tingkatan 5 al-Ghazali,
Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai.
No comments:
Post a Comment