3 May 2020

PUISI MODEN : SAJAK KUCARI DAMAI DI SINI (TING 2)




PUISI MODEN :  Sajak Kucari Damai Di Sini 
(A. HAMID JEMAIN)
Kucari damai di sini
di tanah subur makmur dan merdeka
yang menyilau dan merdeka antara realiti dan mimpi
membebat perasaan kehidupan
dengan sejarah persaudaraan
mengikat naluri kemanusiaan.
Rangkap 1: Penyajak menyatakan bahawa dia mencari kedamaian di negaranya makmur dan merdeka. Kemerdekaan tersebut dianggap berada antara kenyataan dengan impian. Hal ini demikian kerana wujudnya perasaan tidak puas hati antara rakyat. Namun demikian, penyajak menyatakan bahawa perasaan negative itu perlu diubati dengan bersangka baik iaitu dengan menjadikan sejarah persaudaraan sebagai dasar untuk membina rasa kemanusiaan.
Kucari damai di sini
cinta dan jati diri
bersemarak di laman sukma
dengan kasih sayang
bersemadi di naluri.
Rangkap 2: Penyajak menyatakan bahawa kedamain juga dicari dengan rasa kasih sayang dan dengan kepribadian mulia rakyat Malaysia. Perasaan kasih mengasihi perlu dididik dalam diri manusia.
Di sini damainya badai
moga gemilang sepanjang zaman
menjadi catatan sejarah kebanggaan
untuk generasi masa depan.

(Dipetik daripada antologi Baik Budi, Indah Bahasa, Tingkatan 2, Arah Pendidikan Sdn. Bhd.)
Rangkap 3: Penyajak menyatakan bahawa walaupun negara kita mempunyai masalah, kita masih boleh berdamai dan hidup dengan aman. Penyajak berharap agar kemerdekaan yang dicapai berkekelan. Segala masalah perlu diselesaikan dengan bijaksana supaya kejayaan tercipta menjadi kebanggaan generasi akan datang.


1.0 Tema sajak:
Penghargaan terhadap kedamaian dan kesejahteraan negara.
Contoh: Rakyat Malaysia dapat hidup dalam keadaan aman damai kerana wujudnya kasih sayang yang ikhlas dan tulen. Walaupun terdapat masalah yang dihadapi, masalah tersebut masih dapat diselesaikan. Negara ini menjadi kebanggaan rakyat hinggalah ke generasi yang akan datang.

2.0 Persoalan:
1.    Persoalan kedamaian hendaklah diusahakan kerana kedamaian tidak akan datang dengan sendirinya.
2.    Persoalan  negara kita ialah negara aman yang aman dan makmur
3.    Kemerdekaan hendaklah diperjuangkan agar beroleh kemajuan.
4.    Kedamaian akan wujud dengan adanya nilai kasih sayang.
5.    Kemerdekaan negara kita ini akan menjadi kebanggaan generasi akan datang.
3.0 Bentuk:
1.    Sajak ini terdiri daripada tiga rangkap.
2.     Bilangan baris pada setiap rangkap tidak sama.
Contohnya,:
• rangkap 1: enam baris;
• rangkap 2: lima baris;
• rangkap 3: empat baris;
3.    Panjang pendek barisnya tidak sama, iaitu antara tiga hingga lapan patah kata.
Contohnya, dengan sejarah persaudaraan
4.    Jumlah suku kata dalam sajak ini antara enam hingga lapan belas suku kata.
Contohnya, dengan kasih sayang
                   yang menyilau dan merdeka antara realiti dan mimpi
5.    Sajak ini berbentuk bebas.
6.    Nada patriotik.

4. 0 Unsur bunyi:
1.    Asonansi.
Contohnya, • bersemarak di laman sukm(perulangan vokal a);
2.    Aliterasi.
Contohnya, • mengikat naluri kemanusiaan. (perulangan konsonan n);

5.0 Gaya Bahasa

Gaya Bahasa
Contoh
1.     
Hiperbola
membebat perasaan kehidupan

2.     
Penggunaan unsur alam.
tanah
3.     
Repetisi.
Kucari damai di sini

6.0           Nilai dan Pengajaran

Nilai
Pengajaran
1.     
Nilai kedamaian
Kita hendaklah berusaha untuk medapatkan dan mengekalkan kedamaian.
2.     
Nilai patriotisme
Kita hendaklah mencintai negara yang merdeka ini.
3.     
Nilai hormat-menghormati
Kita mestilah saling hormat-menghormati dan berkasih sayang antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment