SAJAK: PESAN LELAKI KECIL KEPADA GADIS KAMPUS
A. MAKSUD SAJAK:
SAJAK | MAKSUD |
Kuhantar kau mengecapi angin baru udara lain dari kampung bendang kuningmu bumantara asing dari yang sering kaumesrai yang sama sekali berbeza dengan suasana suntimu kau nikmatilah angin dan udara ilmu itu memesrai azimat dan tangkal dari tangga gading. | Penulis menghantar anaknya menghirup udara kehidupan yang baharu di bandar kerana anaknya akan melanjutkan pelajaran di sana. Oleh sebab suasana dan persekitaran bandar dan kampung jauh berbeza, penulis berharap agar anaknya dapat menyesuaikan diri di bandar. Penulis mahu anaknya menimba pengalaman baharu di universiti yang bakal mengubah kehidupan anaknya sebagai mahasiswa di sebuah universiti. |
Kulepaskan kau menjadi burung putih dengan sayap berkembang menongkah awan perak dan kabut dingin mengenal kalimat hujan dan bilah petir menyelit antara sembilu nasib dan waras akal. | Penulis sanggup membenarkan anaknya hidup di bandar untuk meluaskan pengalaman kehidupannya. Hal ini dikatakan demikian kerana penulis mahu melatih anaknya agar tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan agar dapat mematangkan diri. Dengan berbuat demikian, pemikiran anaknya menjadi lebih matang dan bijaksana menghadapi segala cabaran dalam kehidupannya sebagai seorang mahasiswa agar dapat berjasa kepada keluarga, bangsa, dan negara pada masa depan. |
Di awan kampus yang sarat ilmu hadir sihir angin bernafas api di pohon kampus yang tegar status berceracak selumbar noda mengabur fikir di padang kampus yang hijau pertimbangan tumbuh gunung ego menghalau pekerti. | Penulis beranggapan bahawa universiti ialah tempat yang kaya dengan ilmu pengetahuan untuk ditimba oleh anak gadisnya yang sedang menimba ilmu di sana. Walau bagaimanapun, penulis beranggapan bahawa banyak pengaruh negatif juga tersebar luas apabila wujudnya pengaruh rakan sebaya waima pengaruh media massa. Oleh hal yang demikian, penulis berharap agar anaknya dapat membuat pertimbangan dan keputusan yang terbaik buat dirinya agar dapat mengelakkan sikap negatif seperti sombong dan mementingkan status sebagai seorang mahasiswa di bandar. |
Pandai-pandailah kau terbang menongkah awan mulus dan kabus dingin jangan kau pulang dengan percikan duka dan balutan luka di sayapmu yang patah | Penulis berhadap agar anak perempuannya yang belajar di universiti bijak menyesuaikan diri dan belajar dengan bersungguh-sungguh di bandar terutamanya dia yang terpaksa berjauhan daripada keluarga. Dengan kejayaan yang dikecap oleh anaknya, dia dapat mengembangkan sayapnya demi masa depannya yang lebih cerah. Sebaliknya, penulis berharap agar anaknya tidak mudah berputus asa lalu pulang ke pangkuannya. Hal ini dikatakan demikian kerana penulis mahu anaknya menjadi seorang perantau yang tabah menghadapi segala cabaran dalam kehidupan harian. |
B. TEMA:
Tema sajak ini ialah nasihat dan peringatan seorang bapa kepada anak yang bakal melanjutkan pelajaran di menara gading. Dalam sajak ini, penulis berharap agar anaknya dapat menyesuaikan diri dalam keadaan yang berbeza daripada di kampung halaman. Selain itu, penulis berharap agar anaknya dapat menjaga jati diri dan maruah diri sepanjang bergelar mahasiswa serta matang dalam pemikiran demi menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan.
C. PERSOALAN:
(1) Kepentingan pendidikan demi masa depan. Contoh : Penyajak menghantar anaknya ke bandar untuk melanjutkan pelajaran ke universiti kerana menyedari kepentingan ilmu pengetahuan.
(2) Perbezaan kehidupan di bandar dan di luar bandar. Contoh: Penyajak mengatakan bahawa kehidupan di bandar adalah berbeza dengan kehidupan di kampung tempat asal anaknya menetap. Beliau berharap anaknya akan dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di bandar tersebut.
(3) Fikiran waras dan matang daripada pengalaman hidup. Contoh: Penyajak beranggapan bahawa banyak pengaruh negatif apabila wujudnya pengaruh rakan sebaya dan media massa. Penulis berharap agar anaknya dapat membuat keputusan yang waras agar dapat mengelakkan sikap negatif dalam menjalani kehidupan di bandar.
(4) Cabaran hidup di bandar. Contoh: Penyajak menjelaskan bahawa kehidupan di bandar amat mencabar serta banyak perkara negatif akan berlaku jika anaknya tidak dapat membezakan antara perkara yang baik dengan perkara yang tidak baik.
(5) Harapan ibu bapa kepada anak yang bergelar mahasiswa. Contoh: Penyajak mengharapkan anaknya menjadi lebih matang dan seorang yang bijaksana.
(6) Nasihat ibu bapa kepada anak. Contoh: Penyajak menasihati anaknya supaya menyesuaikan diri dengan kehidupan bandar dan belajar bersungguh-sungguh untuk mengembangkan potensinya di bandar.
D. GAYA BAHASA:
(1) Sinkope
Contoh: Kuhantar kau mengecapi angin baru udara lain dari kampung bendang kuningmu
(2) Responsi
Contoh:
kaunikmatilah angin dan udara ilmu itu
kaunikmatilah angin dan udara ilmu itu
(3) Anafora
Contoh:
di pohon kampus yang tegar status
di padang kampus yang hijau pertimbangan
(4) Metafora
Contoh:
Buktinya, mengenal kalimat hujan dan bilah petir
menyelit antara sembilu nasib
.
(5) Perlambangan Contoh:
burung kesedihan yang disebabkan oleh cabaran sembilu universiti tangga gading
(5) Imejan atau imej alam
Contoh:
Kuhantar kau mengecapi angin baru udara lain dari kampung bendang kuningmu kaunikmatilah angin dan udara ilmu itu
E. NILAI:
(1) Kasih sayang. Cth: penyajak amat menyayangi anak gadisnya yang menuntut di institut pengajian tinggi memberikan pesanan agar anak gadisnya bijak membawa diri di tempat baru yang berlainan dengan kehidupannya di desa
(2) Kesungguhan. Cth: Penyajak menasihati anak gadisnya supaya menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh untuk menaikkan peluang kejayaan hidup di bandar.
(3) Kegigihan. Cth: Penyajak menasihati anaknya supaya gigih menghadapi cabaran hidup di bandar yang amat berbeza dengan cabaran hidup di luar bandar.
(4) Ketabahan. Cth. Penyajak menasihati anaknya supaya tabah menghadapi cabaran hidup di bandar.
(5) Ketaatan. Cth: Penyajak berharap agar anak gadisnya taat dengan nasihat yang diberinya supaya dapat mencapai kejayaan yang diimpikannya.
(3) Kegigihan. Cth: Penyajak menasihati anaknya supaya gigih menghadapi cabaran hidup di bandar yang amat berbeza dengan cabaran hidup di luar bandar.
(4) Ketabahan. Cth. Penyajak menasihati anaknya supaya tabah menghadapi cabaran hidup di bandar.
(5) Ketaatan. Cth: Penyajak berharap agar anak gadisnya taat dengan nasihat yang diberinya supaya dapat mencapai kejayaan yang diimpikannya.
(6) Hemah tinggi. Cth: Penyajak menasihati anak gadisnya supaya menjaga budi pekerti walaupun sudah bergelar siswi
(7) Kebijaksanaan. Cth: Penyajak menasihati anak gadisnya supaya pandai membawa diri di perantauan agar tidak menemui kekecewaan dan kegagalan mengejar cita-cita .
F. PENGAJARAN:
(1) Kita mestilah sayang akan ahli keluarga dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.
(2) Kita mestilah bersungguh-sungguh dalam melakukan apa-apa yang kita sukai.
(3) Kita haruslah gigih menimba ilmu dan pengalaman demi kegunaan pada masa depan.
(4) Kita perlulah tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan demi mematangkan diri.
(5) Kita haruslah taat kepada ibu bapa dan tidak melupakan mereka selepas berpindah ke bandar.
(6) Kita haruslah menjaga maruah diri dan mengekalkan jati diri yang mulia di mana-mana sahaja kita berada.
(7) Kita mestilah berdikari sewaktu hidup di bandar seorang diri supaya tidak terlalu bergantung pada orang lain.
(8) Kita mestilah sabar menghadapi apa-apa cabaran yang menimpa kita agar dapat menjadikan diri kita lebih kental.
(9) Kita haruslah bijak menyesuaikan diri dalam apa-apa keadaan agar dapat menghadapi cabaran dalam kehidupan
No comments:
Post a Comment